Jabatan Perpustakaan dengan kerjasama Ibnu Sina Institute for Scientific and Industrial Research UTM telah mengadakan program k-sharing bertajuk ‘Understanding Science: A Cognitive Science Perspective’ secara langsung menerusi Facebook Live Perpustakaan UTM dan Youtube UTM Library pada 12 Januari 2022. Panel jemputan ialah Prof. Dr Fatin Aliah Phang, Pengerusi Sekolah, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan dari Jabatan Pendidikan Sains, Matematik & Multimedia Kreatif Sekolah Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Manakala moderator program ialah Prof. Dr. Hadi Nur, Pengarah Ibnu Sina Institute For Scientific & Industrial Research UTM dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi), Universiti Teknologi Malaysia. Panel memulakan sesi perkongsian dengan memberi penerangan tentang maksud sains kognitif. Secara ringkasnya ianya adalah mengenai minda dan tingkah laku.


Teori pembelajaran sains kognitif mempunyai lima jenis iaitu behaviorism, cognitivism,  constructivism, humanism dan connectivism. Panel turut menerangkan kon pengalaman pembelajaran yang diasaskan oleh Edgar Dale (1969) dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Terdapat tiga tahap dalam kon pengalaman pembelajaran Dale iaitu persimbolan, pemerhatian dan juga penglibatan. Ianya memperjelaskan kesan media yang berbeza dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat mengubah kefahaman pelajar daripada sukar kepada yang lebih mudah.


Selain itu, pembelajaran berasaskan inkuiri iaitu belajar melalui penemuan dan penyelesaian masalah di mana pengajar tidak mengajar tetapi membantu pelajar menyelesaikan masalah. Oleh itu, keseimbangan kognitif dicapai apabila sesuatu permasalahan dapat diselesaikan dengan melalui beberapa proses seperti pelajar bertanya soalan, mencuba, mencari jawapan, membuat andaian dan sebagainya sehingga keseimbangan kognitif dicapai. Turut dibincangkan berkaitan sifat sains (NOS) atau epistemolgi saintifik yang merangkumi tujuh perkara iaitu teori dan undang-undang, tentatif, asas empirikal, subjektiviti, kreativiti/imaginasi, sosial/kaitan budaya dan pemerhatian/inferens.

Share this :