Pembuka tirai 2022 menyajikan siri Program Pembudayaan Membaca atau lebih sinonim dengan Read & Relax anjuran Jabatan Perpustakaan UTM berlangsung pada 13 Januari 2022 dengan membawakan dua orang pengulas iaitu Cik Nur Ismahani binti Zahri dan Cik Aisyah binti Ithnin. Mereka merupakan pelajar Sarjana Muda Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang sedang mengikuti latihan industri di Perpustakaan UTM.
Panel pertama iaitu Cik Nur Ismahani binti Zahri telah berkongsi kupasan daripada sebuah buku yang bertajuk Unshakeable oleh Aiman Azlan. Penulis buku ini merupakan seorang Youtuber dan banyak menghasilkan video berkaitan kehidupan remaja. Buku ini juga memfokuskan cara-cara untuk menangani rasa gemuruh pada satu-satu keadaan yang sering berlaku kepada kita, terutamanya apabila berhadapan dengan khalayak ramai atau ketika mengutarakan pendapat kepada orang lain. Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian, dimana pada bahagian pertamanya menceritakan tentang panduan-panduan yang boleh diaplikasikan oleh setiap individi untuk menghadapi rasa gemuruh dalam diri, manakala bahagian kedua pula menceritakan tentang kisah-kisah benar yang berkaitan dengan isu gemuruh, keyakinan dan kebolehan diri.
Pengulas menyatakan bahawa penulis amat menekankan aspek kemahiran berfikiran didalam penulisan bukunya. Penulis menyatakan demikian kerana pemikiran dan kaedah berfikir memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan tindakan-tindakan yang diambil oleh setiap individu. Sekiranya seseorang individu berfikiran positif maka hasilnya juga bakal memberikan impak yang positif dan begitu pula sebaliknya. Pemikiran yang positif adalah kunci utama untuk membina keyakinan kerana dengan set pemikiran yang positif akan membolehkan kita untuk mengetepikan perkara negatif yang melingkari kehidupan dan tidak menyumbang apa-apa kebaikan kepada kemajuan hidup kita.
Manakala pengulas kedua iaitu Cik Aisyah binti Ithnin pula berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Wanita Wajib Kaya oleh Fida Jaafar. Buku ini terinspirasi daripada kehidupan penulis sendiri, dimana kesusahan dan kesukaran yang menjadi asam garam dalam kehidupan penulis dan keluarganya membuatkan dirinya menilai semula falsafah kekayaan. Penulis buku ini ingin mengajar pembacanya untuk menilai definisi kekayaan. Istilah kaya yang cuba disampaikan oleh penulis pula adalah kaya yang dinilai dari perspektif yang berbeza, sama ada seseorang itu berlagak kaya atau benar-benar kaya tanpa menampilkan aspek fizikal sebuah kekayaan.
Penulis juga menggariskan lima perkara utama tentang kaedah-kaedah untuk menjadi kaya iaitu berfikiran positif, tulis matlamat kehidupan dengan betul, menguruskan kewangan, berguru dengan pakar kewangan, mempraktikkan ilmu pembelajaran dan gilap ilmu kemahiran yang ada. Pentingnya untuk setiap individu untuk mengetahui ‘kuasa perkataan’, di mana perkataan yang melingkari set pemikiran kita yang negatif pasti akan membuatkan segala tindak-tanduk kita ke arah kegagalan yang nyata. Namun, sekiranya kita memikirkan ‘boleh’, segala usaha kita akan tertumpu kepada mencapai apa yang dihajatkan dan tidak mudah menyerah kalah. Justeru itu, amat penting untuk setiap individu agar sentiasa berfikiran positif dalam mendepani segala kemungkinan bagi memastikan kelestarian dan keharmonian kehidupan.