Siri kedua program Read & Relax Perpustakaan UTM Johor Bahru bagi tahun 2022 telah berlangsung pada 27 Februari 2022, Khamis jam 11.00 pagi dengan menjemput tiga orang pengulas iaitu Dr. Nor Ain Husein, Pensyarah Kanan Jabatan Fizik Fakulti Sains UTM, Encik Muhamad Azwar Azhari pelajar PhD Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan UTM dan Encik Muhammad Luqman Wafiy Abdul Muiz pelajar Ijazah Sarjana Sekolah Pendidikan FSSH UTM. Moderator ialah En Mohd Salihuddin Bin Bakri, Pembantu Pustakawan.

Encik Muhammad Luqman Wafiy Abdul Muiz mengulas sebuah buku bertajuk The Book of Leadership

Pengulas pertama iaitu Encik Muhammad Luqman Wafiy Abdul Muiz telah berkongsi buku bertajuk The Book of Leadership ditulis oleh Anthony Gell. Pengulas menyatakan buku ini mempunyai susun atur penceritaan mengenai kepimpinan yang padat dan penuh dengan teladan. Malahan, buku ini menyisipkan kisah-kisah kepimpinan pengarah di beberapa syarikat yang ternama dan berjaya untuk dijadikan sebagai panduan hidup yang realistik. Kepimpinan adalah merangkumi kepada diri sendiri, organisasi/kumpulan dan orang luar. Oleh itu seseorang pemimpin perlu kuat dari segi fizikal dan mental bagi mempersiapkan diri untuk memberi bantuan dan sumbangan kepada yang memerlukan. Selain itu, pemimpin yang ulung akan sentiasa bersedia menghadapi risiko, positif dengan apa yang berlaku serta tidak mudah putus asa.

Dr. Nor Ain Husein mengulas sebuah buku bertajuk Leader Eat Last

Pengulas kedua ialah Dr. Nor Ain Husein berkongsi buku bertajuk Leader Eat Last yang ditulis oleh Simon Sinek. Menurut pengulas buku ini mampu membuat pembaca untuk muhasabah diri mengenai kepimpinan dalam melakukan tugas atau projek secara berkumpulan kerana ianya kadangkala dijayakan oleh semua atau hanya segelintir ahli kumpulan sahaja yang memainkan peranan dalam melaksanakan sesuatu tugasan atau projek. Seterusnya, pengulas memetik bait di dalam buku iaitu “circle of safety” iaitu kepentingan berasa selamat dalam satu kelompok dan buku ini menyenaraikan cara-cara untuk memupuk perasaan selamat sekiranya berada di dalam sesuatu kelompok. Selain itu, antara tip kepimpinan yang dikongsikan untuk menjadi pemimpin yang baik adalah sentiasa mengorbankan kepentingan diri, menjadi pendengar yang baik dan menghargai pandangan atau idea yang diberikan.

Encik Muhamad Azwar Azhari mengulas sebuah buku bertajuk Muhammad SAW Insan Paling Sempurna Pernah Dilahirkan

Pengulas ketiga adalah Encik Muhamad Azwar Azhari dengan tajuk bukunya Muhammad SAW Insan Paling Sempurna Pernah Dilahirkan hasil nurkilan Dr. Kamilin Jamilin. Buku ini menerangkan tentang keperibadian Nabi Muhammad serta ciri-ciri kepimpinan baginda. Antara kandungan yang dimuatkan di dalam buku ini ialah cara baginda berinteraksi dengan perkara disekelilingnya seperti musuh, golongan munafik, para sahabat, kanak-kanak, wanita, anak-anak yatim dan lain-lain. Selain itu, buku ini juga memaparkan keperibadian baginda seperti pakaian dan cara pemakaian, makanan dan minuman yang digemari, corak dan waktu tidur, perkara suka dan duka  serta lain-lain. Oleh itu, buku ini memberi panduan lengkap yang mencakupi pelbagai aspek yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk dicontohi, dihayati, dipelajari dan dilaksanakan dalam kehidupan seharian samada sebagai pemimpin atau pengikut. Menurut pengulas buku ini merupakan rujukan generasi akan datang untuk mengenali Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin unggul dan hebat dalam masyarakat Islam. Akhir kata daripada pengulas, sentiasalah membuat kebaikan dengan ikhlas dan jadilah pemimpin yang penuh dengan kasih sayang.

 

 

Share this :