Program K-Sharing berjudul ‘Alahai… Banjir Termenung’ pada kali ini menjemput tiga orang ahli panel terdiri daripada Dr. Maketab Mohamed, Mantan Profesor Kualiti Air & Permodelan Kualiti Air, Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, UTM Johor Bahru, Prof. Dr. Zulkifli Yusop, Profesor Adjung, Pusat Pelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air, UTM Johor Bahru dan Tuan Rasidi Md. Yunos, Penguasa Bomba, Ketua Zon 4, Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Johor. Manakala moderator program ini adalah Dr. Khamarrul Azahari Razak yang merupakan Pengarah Pusat Pencegahan & Kesiapsiagaan Bencana (DPPC) UTM.

Di awal program, Prof. Dr. Zulkifli Yusop menjelaskan bahawa banjir termenung itu adalah air yang tergenang untuk jangka masa yang lebih lama di mana istilah tersebut mula digunakan semasa banjir besar yang berlaku di Seri Medan, Batu Pahat sekitar tahun 2006-2007 yang menyebabkan aktiviti harian penduduk kampung di kawasan tersebut terganggu seluruhnya. Di samping itu, Prof. Dr. Zulkifli juga menjelaskan tentang perbezaan istilah banjir yang lain seperti banjir kilat, banjir setempat, banjir monsun, banjir sungai, banjir pantai dan juga banjir ‘storm surge’.

Seterusnya, Tn. Rasidi Md. Yunos menceritakan tentang pengalaman beliau menjalankan operasi banjir yang terjadi di sekitar Kampung Tenang, Labis. Di samping itu, beliau juga memaklumkan bahawa pemantauan terhadap peningkatan aras air Sungai Muar perlu dilihat dari hulunya yang berada di Kuala Pilah sebagai penandaaras pasukan bomba. Sepanjang operasi banjir, antara cabaran yang dihadapi oleh bomba ialah operasi untuk menyelamatkan warga emas dan orang-orang awam yang terlantar sakit.

Dr. Maketab menjelaskan beberapa tindakan-tindakan awal pihak berwajib yang boleh diambil bagi mengurangkan risiko keterlibatan orang awam dalam situasi banjir yang tidak diingini iaitu mengelakkan sebarang bentuk pembangunan di lokasi yang berisiko untuk berlaku banjir. Beliau juga mencadangkan bentuk binaan rumah bertiang tinggi untuk rumah-rumah yang baru hendak dibina seperti rumah-rumah tradisional bagi rumah yang dibina di kawasan berisiko banjir. Selain itu, beliau juga memberi contoh penggunaan pam besar berkuasa tinggi yang pernah diusahakan oleh mantan Menteri Besar Johor yang terdahulu untuk menyedut air di kawasan banjir termenung tersebut.

Di samping itu, Prof. Dr. Zulkifli Yusop turut menambah beberapa maklumat tentang faktor-faktor yang menjadi punca kepada banjir termenung iaitu faktor kawasan yang lebih rendah dari aras sungai, aliran air yang terhalang disebabkan tumbuhan akuatik yang tebal, pembentung yang tersumbat serta halangan-halangan fizikal seperti binaan jalan raya dan sebagainya. Berdasarkan faktor-faktor ini, beberapa langkah untuk mengurangkan risiko banjir termenung boleh diambil kira oleh kerajaan seperti menjalankan pembersihan saliran parit dengan lebih kerap, membuat pendalaman parit, menghalang limpahan air sungai dengan binaan benteng yang bersesuaian, mengubah suai reka bentuk pembentung supaya lebih besar, membina laluan jalan raya yang tidak menghalang laluan air dan juga penggunaan pam penyedut air berkuasa tinggi.

Sesi program ini diteruskan lagi dengan penerangan oleh Tuan Rasidi berkaitan dengan karenah atau perangai sesetengah masyarakat yang menganggap situati banjir adalah sesuatu yang boleh diambil mudah dan menyangka bahawa ia tidak begitu bahaya. Dalam beberapa keadaan, terdapat segelintir masyarakat yang mengambil risiko meredah banjir dengan kenderaan masing-masing di mana ia adalah sangat berbahaya kerana risiko untuk dihanyutkan oleh arus banjir amat tinggi. Hal ini berpunca daripada sikap mereka yang menganggap mereka boleh berenang walaupun tidak mahir dan tidak bermasalah untuk mengharungi arus yang deras. Tuan Rasidi juga menjelaskan bahawa situasi mangsa lemas ketika banjir melambatkan proses pemindahan mangsa banjir kerana sebahagian daripada pasukan penyelamat terpaksa dikerah untuk operasi SAR yang mengambil masa kerana pencarian mangsa banjir amat dipengaruhi oleh keadaan arus banjir yang tenang atau deras dan kebiasaannya agak sukar untuk mencari mangsa yang telah dibawa arus.

Seterusnya, Prof. Dr. Maketab telah menjelaskan beberapa hal berkaitan dengan kerjasama di antara pihak berkuasa tempatan dan kerajaan persekutuan dalam menangani isu banjir termenung di mana terdapat ketidak seragaman polisi atau pematuhan prosedur dalam proses pembangunan. Menurut beliau, terdapat banyak bentuk pembangunan yang tidak mengikut peraturan dan spesifikasi yang telah digariskan yang disebabkan oleh kegagalan pihak-pihak berkaitan untuk bekerjasama dalam memastikan kesemuanya mematuhi syarat-syarat pembinaan, terutamanya dalam hal pemilihan lokasi pembangunan.

Sesi K-Sharing dilanjutkan lagi dengan huraian oleh Prof. Dr. Zulkifli yang menegaskan bahawa pihak kerajaan perlu menjalankan kajian sebelum satu-satu pembangunan itu dijalankan dan bandingkan antara keuntungan projek dan kerosakan yang boleh diandaikan sekiranya berlaku sebarang bentuk bencana yang boleh berlaku. Hal ini terutamanya ditumpukan untuk kawasan yang berkemungkinan boleh berlaku banjir. Beliau menyatakan juga bahawa kerajaan seharusnya memastikan pemaju sanggup menyediakan peruntukan bagi memastikan projek pembangunan mereka dapat menghadapi risiko banjir untuk satu tempoh yang panjang, bukan sekadar untuk tempoh singkat seperti lima tahun.

Seterusnya, Tuan Rasidi menjelaskan tentang tips-tips bagi menghadapi banjir di mana beliau menyarankan agar masyarakat sentiasa mengambil maklum sebarang pengumuman oleh pihak kerajaan untuk sebarang bentuk bencana, terutamanya banjir supaya dapat bersiap-sedia untuk menghadapinya. Di samping itu, beliau juga mencadangkan agar masyarakat menyediakan satu beg khas yang boleh menyimpan dokumen-dokumen penting, makanan kering, lampu suluh, sedikit pakaian asas, ‘power bank’ dan lain-lain barang keperluan supaya mudah untuk dibawa ketika proses pemindahan banjir.

Secara keseluruhan, kesemua ahli panel bersetuju bahawa langkah berjaga-jaga perlu diambil kira dan dipertingkatkan lagi setelah bencana banjir yang menimpa negara kita baru-baru ini. Dan tidak dilupakan juga aspek-aspek kebersihan yang melibatkan masyarakat di mana masyarakat perlu memastikan yang mereka sentiasa mencuci tangan dan mengelak daripada terlalu terdedah dengan air banjir yang mungkin mengandungi bakteria berbahaya yang boleh mengundang penyakit. Hal ini termasuk juga binatang berbahaya yang boleh menyerang pada bila-bila masa seperti ular dan buaya. Di samping itu, panel juga menasihati masyarakat bahawa banjir bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan dan seharusnya kita berganding bahu dalam memastikan keselamatan semua pihak ketika bencana banjir berlaku.

Share this :