Program knowledge sharing anjuran Jabatan Perpustakaan UTM kali ini membawa satu perkongsian menarik bertajuk “Laughter Is The Best Medicine”. Program ini bersiaran secara langsung dari Facebook Live Perpustakaan UTM dan Youtube UTM Library TV pada 9 Februari 2022. Penceramah jemputan ialah Encik Iskandar Syah bin Ismail, Pengasas Pertubuhan Amal Red Bubbles dan Prof. Dr. Suhairul bin Hashim, Timbalan Dekan Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia selaku moderator program.

Sebagai pengenalan, Encik Iskandar Syah bin Ismail adalah seorang Doktor Badut (Clown Doctor), penterjemah sambilan dan juga penulis buku. Beliau adalah pengasas Pertubuhan Amal Red Bubbles dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Kimia dari Universiti Bradford, England. Pada tahun 2003 beliau menghadiri kursus ‘Caring Clown’ di Clown Camp di Universiti Wisconsin-La Crosse, Amerika Syarikat. Pada tahun 2005, sekali lagi beliau ke Maine, Amerika Syarikat bagi berguru dengan Avner Eisenberg dan Julie Goell dalam bidang ‘Eccentric Performing’ dan pada tahun 2013, beliau mendalami ilmu ‘theatre clowning’ daripada Aitor Basauri.

Ramai yang tidak tahu kini ada sekumpulan badut berkhidmat untuk menghiburkan orang sakit termasuk pesakit yang terlantar di hospital dalam usaha mewujudkan suasana yang ceria. Kehadiran mereka yang bergelar doktor badut bukanlah untuk merawat penyakit, tetapi membantu meredakan ketegangan, tekanan, keresahan atau kesakitan yang ditanggung oleh pesakit dan anggota keluarganya. Kehadiran mereka sedikit sebanyak dapat membuatkan pesakit rasa lega dan melupakan seketika kesakitan. Menurut En. Iskandar doktor badut ini adalah ‘doktor’ yang merawat jiwa pesakit yang berada dalam keadaa tertekan kerana melalui pelbagai proses rawatan dalam suasana hospital yang ‘suram’ dari kaca mata pesakit kanak-kanak.

Secara umumnya, doktor badut mengalihkan perhatian kanak-kanak semasa prosedur menyakitkan, membantu menenangkan kanak-kanak yang bermasalah dalam kecemasan, menggalakkan kanak-kanak dalam fisioterapi selain menceriakan pesakit yang mungkin bosan tinggal di hospital. Doktor Badut Profesional bukan hanya dilatih menjadi badut dengan perwatakan ceria tetapi mahir dengan suasana persekitaran hospital yang sensitif serta berpengetahuan dalam bidang psikologi. Mereka juga perlu berkemahiran menjadi penghibur yang boleh membuat mimik muka, menyanyi, bermain alat muzik serta perlu mempunyai sifat peribadi yang kukuh seperti gerak hati, sensitif, belas kasihan, fleksibiliti dan empati. Sumbangan ikhlas boleh disalurkan ke Pertubuhan Amal Red Bubbles agar dapat terus berbakti menghiburkan ramai lagi insan yang kurang bernasib baik.

Share this :