Pada Khamis 17 Februari 2022, telah diadakan Program BookSharing@UTMKL 2022 secara langsung melalui Facebook UTM Kuala Lumpur. Siri ketiga ini menjemput dua orang pengulas iaitu Puan Noor Mirwani Mohd Sufian, Penolong Pegawai Latihan Vokasional, Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dan En. Amirul Syahmi Zamri, Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Timbalan Naib Canselor. Moderator program ialah Puan Sharifah Radhiah Syed Azman, Pustakawan Perpustakaan UTM.
Pengulas pertama, Puan Noor Mirwani Mohd Sufian telah memilih buku bertajuk 1,001 Ways To Save The Earth yang ditulis oleh Joanna Yarrow. menurut beliau pembacaan buku ini dapat membuka minda pembaca serta membentuk rasa bertanggungjawab dalam memelihara dan memulihara bumi. Mengangkat tema pemuliharaan alam sekitar, penulis merumuskan bahawa penggunaan eletrik yang minima mampu menyelamatkan bumi kerana mengurangkan penghasilan gas karbon dioksida sekaligus penyimpanan haba dapat dikurangkan dan bumi menjadi kurang panas. Penulis turut berkongsi tips penggunaan bahan semulajadi yang mampu mengurangkan kos selain memberi kesan yang baik kepada bumi.
Pengulas kedua, Encik Amirul Syahmi Zamri berkongsi buku bertajuk Ubah Sedihmu Jadi Senyum yang ditulis oleh Rindu Haru Maryam. Menurut beliau, buku berbentuk motivasi ini sarat dengan kata-kata semangat dalam mengharungi dugaan dan liku-liku kehidupan. Antara yang ditekankan penulis adalah konsep bersyukur dengan dugaan yang hadir supaya hidup akan lebih tenang kerana Allah telah menetapkan ada hikmah disebalik ujian yang diberikan. Selain itu, disiplin dapat membentuk sahsiah dan peribadi diri dan seterusnya menjadikan kita lebih peka dengan keadaan semasa diri kita sendiri bahkan juga orang lain. Beliau turut menerangkan berkaitan menyemai sifat ihsan di dalam diri mampu membentuk sikap tolong menolong, saling hormat menghormati dan menghindar diri kita daripada tingkah laku yang negatif.