Program Bicara Karya edisi Mac ini telah menampilkan Dr. Ahmiza Mohammed Ismail atau lebih dikenali “Dr auntie UK” dalam kalangaan pengikut instagram sebagai panel jemputan untuk berkongsi hasil karya beliau yang bertajuk A Spoonful of Pain. Program yang dikelola oleh Puan Syaza Suraya, Mahasiswa UTM telah mengupas buku motivasi ini untuk para pembaca yang sedang merasai kehilangan, kesedihan dan kedukaan untuk kembali bangkit menjalani kehidupan mereka.
Nukilan naskhah motivasi ini terhasil selepas ketiadaan adik beliau, Adam Mahamed Ismail yang pergi menghadap ilahi ekoran jangkitan paru-paru. Ketiadaan Adam yang sangat rapat dengan beliau menyebabkan beliau merasakan kesedihan yang berpanjangan dan hilang tempat kebergantungan. Minat beliau akan dunia penulisan jurnal juga menyumbang akan penghasilan naskhah motivasi ini. Menurut beliau, dengan menulis beliau mampu untuk menghilangkan rasa sedih, mengawal emosi dan memberi ketenangan kepada beliau dalam memerangi kesedihan selepas ketiadaan adiknya. Maka terhasil buku motivasi ini yang akan memberi manfaat, inspirasi dan pengajaran kepada para pembaca.
Konsep yang diterapkan dalam penulisan ini ialah authorbiography yang menceritakan kisah peribadi tentang seseorang individu untuk memberikan kesedaran mengenai kesedihan. Penulis mengadaptasikan rujukan dengan mengambil pandangan lensa masyarakat mengenai konteks kesedihan yang berterusan dan mengambil contoh kisah-kisah Nabi dalam menghadapi kesedihan. Konsep buku ini yang menceritakan erti di sebalik kehilangan telah dikupas dan dibahagikan dengan empat bahagian iatu Pain, Healing, Faith dan Supplication.
Penulis menyifatkan didikan awal dari keluarga megenai keakraban, adab, akhlak dan kebersihan telah dipupuk sejak kecik menyebabkan mereka sentiasa akrab walaupun terpisah benua. Penulis juga berpandangan kepesatan teknologi yang canggih telah memudahkan urusan komunikasi dan merapatkan ukhwah seisi keluarga mereka.
Penulis juga berkongsi tentang perkembangan buku baharu beliau “mentall wellness” dan juga mengekalkan konsep yang sama seperti sebelumnya. Penulis mengharapkan pembaca dapat manfaat daripada perkongsian buku ini kerana masyarakat kita sering dengan pandangan negatif masyarakat tentang kesedihan yang berterusan. Pengalaman peribadi beliau mengenai kesedihan yang melampau telah digambarkan dalam karya ini namun kepercayaan dan kebergantungan kepada Allah tidak pernah luntur. Titipan doa yang telah dikongsikan dan telah diamalkan oleh beliau sepanjang menghadapi kesedihan juga bermanfaat kepada pembaca. Penulis juga menegaskan masyarakat perlulah membezakan antara hukum dan budaya agar perasaan kesedihan ini mampu diterima baik dan ia adalah normal dalam kalangan masyarakat.
Penulis berpandangan buku ini amatlah sesuai kepada pembaca yang ingin mendapatkan dorongan dan semangat ketika berada dalam kesedihan dan kesusahan. Penulis juga menyarankan masyarakat agar bertindak rasional dalam menasihati dan memberi pandangan yang berhati-hati kepada orang yang sedang ditimpa kesusahan. Harapan bagi penulis kepada pembaca buku ini ialah agar mereka dapat seorang teman yang dapat menyentuh hati dan perasaan dan mencari erti hidup dalam konteks kehilangan dan kesedihan melalui pembacaan buku ini.
Di akhir perbincangan, penulis turut menitipkan nasihat kepada para pembaca agar tidak membuang masa bersama dengan orang yang tersayang dengan menzahirkan perasaan dan menghargai mereka sementara masih ada.