Program Perkongsian Ilmu ‘Mydin – Di Sebalik Empayar Perniagaan’ anjuran Jabatan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah diadakan pada Khamis, 3 Mac 2022. Panel jemputan pada program kali ini adalah YBhg. Datin Wira Dr. Hajah Siti Hawa Mohd, Pengarah Mydin Mohamed Holdings Berhad dan beliau juga merupakan pengarang buku MYDIN:  Disebalik Tabir.  Manakala moderator program ialah Puan Nik Masriza Zakaria, Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan UTMKL.


Pasaraya MYDIN merupakan sebuah rangkaian pemborong dan peruncit tempatan terbesar di Malaysia. Dengan slogan terkenal, “Mengapa bayar lebih? Belilah dengan harga borong” nama MYDIN terus kekal lestari di negara ini sehingga kini.


Pada awal program, YBhg. Datin Wira Dr.Hajah Siti Hawa Mohd berkongsi pengalaman bagaimana beliau telah menemuramah ahli keluarga pengasas MYDIN sendiri demi menghasilkan buku “MYDIN : Disebalik Tabir” dan menggalakkan bakal-bakal usahawan supaya membaca buku ini. Di samping itu, bagi menyemai budaya membaca sejak kecil untuk anak-anak, beliau turut menghasilkan buku komik bertajuk “Saya Anak Malaysia” yang memaparkan penceritaan dan ilustrasi yang menarik.


YBhg.Datin Wira Dr.Hajah Siti Hawa banyak berkongsi mengenai hasil usaha, pengorbanan dan cabaran yang harus dihadapi oleh pengasas Mydin dan keluarga beliau sehingga nama MYDIN terkenal di seluruh Malaysia. ‘Tahu apa yang pelanggan kehendaki, bukan apa yang kita kehendaki’ adalah idea perniagaan yang digunakan di mana beliau menceritakan pengasas MYDIN itu sendiri cuba sedaya upaya untuk memenuhi kehendak pelanggan dengan mendapatkan barangan walaupun ketika itu masih belum dijual di kedai.


YBhg.Datin Wira Dr.Hajah Siti Hawa banyak menceritakan sikap pengasas MYDIN yang bersederhana dan beliau sangat berminat dengan konsep runcit dan borong serta menjual barangan keperluan muslim sebagai fardhu kifayah. Beliau turut menerapkan nilai-nilai jimat cermat, mengutamakan permintaan dan maklumbalas pelanggan serta mengutamakan integriti dan institusi kekeluargaan. Pesanan beliau “naik tangga jangan berlari, naik tangga jangan naik lif” adalah bersesuaian dengan sejarah empayar MYDIN yang juga bermula dari bawah di mana dalam perniagaan membuat kesilapan itu adalah suatu proses pembelajaran.


Mengakhiri sesi perkongsian, beliau berharap penulisan buku ini dapat dijadikan sumber inspirasi kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan  sekaligus memperkukuhkan perniagaaan bagi mereka yang sedang membina perniagaan mereka sendiri.

Share this :