Program perkongsian pada 10 Mac 2022 (Khamis) diadakan secara dalam talian telah dimulakan dengan ahli panel yang pertama iaitu Prof Dr. Kassim Bin Thukiman. Beliau memperincikan tentang rentetan sejarah pilihanraya di Malaysia dan juga petikan daripada piagam PBB yang dinyatakan secara umum iaitu sesebuah kedaulatan negara itu akan ditentukan oleh warganegaranya. Di sini secara jelas memperuntukkan sebuah undang-undang yang membenarkan hanya warganegara sesebuah negara itu sahaja yang boleh mengundi, tidak bagi warga asing dan berusia 21 tahun ke atas (dalam konteks negara Malaysia). Dan baru-baru ini, peraturan telah digubal semula dan memperuntukkan kebenaran untuk warganegara Malaysia bermula dari umur 18 tahun telah dibenarkan untuk keluar mengundi dalam mana-mana pilihanraya. Menariknya menurut Prof Dr. Kassim, PRN di Johor kali ini menyaksikan permulaan bagi belia berumur 18 tahun untuk keluar mengundi. Prof. Dr. Kassim Thukiman juga menyatakan bahawa kita tidak seharusnya memperkecilkan kebolehan anak muda untuk memilih pemimpin meskipun pada usia yang amat muda kerana anak muda masakini telah terdedah dengan isu-isu yang melibatkan politik, kepimpinan, tadbir urus negara dengan lebih meluas berbanding dahulu.

Program diteruskan lagi dengan penerangan oleh PM Dr. Mohd Azhar berkaitan penerimaan oleh golongan muda atau belia terhadap PRN Johor yang dilihat sebagai medan percubaan yang pertama untuk undi 18. Beliau menyatakan bahawa secara umumnya, penerimaan golongan muda sangat menggalakkan. PM Dr. Mohd Azhar juga melihat secara umum mengenai pandangan golongan yang lebih dewasa terhadap kebenaran golongan belia 18 tahun untuk mula mengundi. Beliau mendapati terdapat reaksi yang pelbagai mengenai perkara ini di mana segelintir pandangan menyatakan bahawa tiada masalah untuk orang muda mengundi atas sebab informasi-informasi semasa yang boleh mereka peroleh di hujung jari sahaja (internet) dan tidak lagi terbatas melalui akhbar mahupun ceramah-ceramah politik sahaja. Namun begitu, ada juga pandangan yang melihat secara pesimistik di mana mereka menyatakan bahawa kebenaran untuk belia 18 tahun mengundi tidak seiringan dengan kematangan berpolitik di mana kebarangkalian untuk orang muda mengundi atas dasar ikut-ikutan atau desakan keluarga akan berlaku, ataupun sekadar datang untuk mengundi tanpa mempedulikan calon mahupun parti dan hal ini sedikit sebanyak merencatkan sedikit sebanyak kualiti proses demokrasi untuk rakyat secara matang.

Moderator seterusnya mengajukan soalan berkaitan dengan undi 18 yang boleh membantu terhadap pembinaan negara. PM Dr. Mohd Azhar memetik kata-kata bekas Presiden Indonesia yang pertama iaitu Soekarno yang menyebut tentang kehebatan orang-orang muda yang boleh menggoncang negara. Hal ini memberi erti bahawa golongan muda adalah golongan yang sangat kritikal untuk legasi pembangunan negara yang bakal orang-orang tua tinggalkan. Beliau juga memberi contoh di negara-negara luar bagaimana orang muda sangat berperanan dalam pembangunan negara dan juga beberapa dapatan yang mendapati turut berlaku peningkatan dalam kalangan orang muda di sana yang tidak mahu lagi peduli tentang politik dan tidak mahu keluar mengundi kerana menganggap ia adalah sia-sia.

Seterusnya, PM Dr. Kassim Thukiman menerangkan tentang kematangan orang muda yang mudah terpengaruh dengan sentimen-sentimen tertentu dan juga hebahan media sosial. Beliau menjelaskan bahawa anak muda itu sendiri terbahagi kepada beberapa golongan, terutama yang melibatkan latar belakang akademik. Beliau juga menyatakan bahawa golongan muda bukan tidak matang dan tidak minat pada politik, sebaliknya mereka muak dan bosan dengan pihak-pihak tertentu yang sewenang-wenangnya merosakkan sistem politik sendiri, dan contoh yang beliau berikan adalah PRU ke-14 di mana negara menyaksikan tindakan sesetengah ahli politik yang mengganggu-gugat kestabilan politik negara. Selain itu, belaiu turut menyatakan bahawa selama ini isu orang muda tidak begitu dititikberatkan dalam setiap manifesto yang dicanang setiap kali pilihanraya. Namun, disebabkan undi 18 yang dimulakan julung kalinya di Johor, naratif tersebut telah berubah dan isu anak muda turut diberi perhatian dalam manifesto masing-masing.

Selanjutnya, Cik Wan Akmal Nazirah Wan Ubaidillah yang mewakili anak muda dalam program ini menjelaskan tentang isu anak muda yang mahu didengari di mana ia melibatkan beberapa perubahan, terutama dalam kalangan mahasiswa. Beliau menyatakan bahawa beberapa perubahan yang telah dilaksanakan sebelum ini iaitu kebenaran untuk mahasiswa berpolitik sama ada di dalam dan di luar kampus dilihat sangat baik dan mampu merintis kepada keterlibatan anak muda yang lebih meluas dalam arena politik nasional. Di samping itu, beliau juga menjelaskan tentang kepentingan untuk anak muda agar tidak sekadar mengikut naratif politik semasa tanpa mempertimbangkan kebolehan dan kelayakan seseorang yang hendak menyertai gelanggang politik itu sendiri. Cik Wan Akmal Nazirah juga menegaskan bahawa mereka yang hendak menyertai politik (terutama golongan muda) mestilah menyertainya semata-mata untuk kepentingan rakyat, bukan untuk kepentingan peribadi. Dan semestinya, orang-orang muda akan mencontohi orang-orang tua. Dari situ, amatlah penting untuk setiap daripada ahli politik itu sendiri menonjolkan peribadi dan sahsiah yang baik dan terpuji agar dapat memberikan jalan atau tauladan kepada orang-orang muda.

Kesimpulan daripada setiap ahli panel untuk program ini bersetuju secara kolektif supaya anak muda turut serta di dalam PRN Johor sebagai bukti keprihatinan golongan muda terhadap pembangunan negara umumnya, dan negeri Johor khususnya. Di samping, pilihanraya juga secara umumnya adalah peluang untuk kita selaku warganegara memilih yang terbaik dan menyingkirkan yang tidak baik.

 

Share this :