Sempena Hari Wanita 2022, Perpustakaan UTM telah menjemput Pn Enny Suhailis Binti Suleiman, Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Johor selaku panel program perkongsian ilmu bagi mengupas tajuk Hikmah Saksama Bersama. Program ini telah dijalankan pada 8 Mac 2022 (Selasa) pada jam 3.30 petang hingga 4.30 petang secara dalam talian melalui platform Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM.

Moderator, PM Dr Noorminshah A. Iahad memulakan program dengan memperkenalkan latar belakang panel seterusnya panel menerangkan objektif sambutan hari wanita adalah sebagai tanda keperihatinan kerajaan terhadap peranan penting wanita sebagai penggerak utama kepada kemajuan negara dan pembangunan institusi kekeluargaan serta pengukuhan masyarakat yang  penyayang. Selain itu juga, adalah untuk memberi pendedahan maklumat  serta pengetahuan khususnya golongan wanita akan peluang, cabaran dan isu sejagat agar wanita mempunyai daya saing serta dapat mengawal sumber yang ada.

Panel menjelaskan bahawa tema sempena hari wanita pada tahun 2022 ialah “Saksama Bersama” membawa maksud meningkatkan kesedaran ketaksamaan seluruh masyarakat serta menggalakkan semua lapisan masyarakat merapatkan jurang antara satu sama lain. Bersama pula adalah menunjukkan wawasan kemakmuran 2030 seperti penstrukturan semula ekonomi, merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin tanpa membezakan golongan wanita mahupun lelaki.Ini akan dapat menghasilkan keharmonian serta kesejahteraan untuk semua golongan masyarakat di Malaysia.

Tambah beliau lagi, wanita perlu menanam tekad yang tinggi untuk mencapai kejayaan kerana setiap kejayaan memerlukan perancangan yang teliti serta mengambil tindakan yang betul bagi merealisasikan kejayaan tersebut. Antara contoh yang terkenal bagi ikon wanita adalah Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang merupakan bekas gabenor bank negara serta antara ketua bank pusat terbaik didunia pada tahun 2010 serta diiktiraf dunia dalam penyatuan  kewangan serantau mahupun kewangan islam.

Dikesempatan ini juga, panel memaklumkan Jabatan Pembangunan Wanita dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah melaksanakan pelbagai program bagi memperkasakan wanita dan menariknya program diadakan secara percuma. Maklumat program boleh diakses melalui media sosial dan media massa.

Antara program yang dijalankan sejak tahun 2020 adalah program 4K iaitu program keseimbangan merangkumi kestabilan emosi, kesihatan mental serta kerohanian dan keperibadian positif. Program kedua adalah kesaksamaan dan kepimpinan kendiri iaitu keupayaan untuk mendapat manfaat yang adil dari aspek keperluan seperti bagi melahirkan golongan wanita yang lebih menonjol dan melahirkan pemimpin-pemipin muda.

Seterusnya adalah program kewangan bagi mendidik wanita menguruskan kewangan rumah tangga bagi menjamin kesejahteraan sosial dan keluarga dan yang terakhir adalah yang keempat iaitu program kemahiran sebagai aset nilai tambah bagi memperkasakan wanita dalam menjana pendapatan dan keyakinan dalam menceburi apa jua bidang. Pelbagai kelas kemahiran dibawah Jabatan Pembangunan Wanita seperti kelas masakan, kelas gubahan serta pelbagai lagi diberikan secara percuma bagi meningkatkan kemahiran wanita di Malaysia. Program ini diakhiri dengan deklamasi sajak oleh saudari Siti Nur Nadhirah Yahaya daripada Kelab Debat , Pidato dan Pemikiran Kritis (DEPIKIR) yang bertajuk “Wanita Pada Nan Saksama”  hasil karya Saudara Akmal Alif Amran.

Share this :