Program Librarian’s Talk Edisi Khas, Perpustakaan UTM Johor Bahru telah diadakan dengan kerjasama Persatuan Perpustakaan Malaysia (Kumpulan Selatan) dan Perpustakaan Sultan Ismail bertempat di Perpustakaan UTM Johor Bahru pada 11 Mei 2022 dengan membawa panel jemputan khas Dr Ghazali Bin Mohamed Fadzil, Ahli Majlis, Persatuan Pustakawan Malaysia. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan perpustakaan awam dan swasta terutamanya dalam pengurusan pengetahuan (knowledge manegement). Moderator program yang dilantik bagi sesi ini ialah Encik Md Razib Bin Karno, Timbalan Ketua Pustakawan, Jabatan Perpustakawaan, UTM.

Librarian’s Talk Edisi Khas yang bertajuk Hidden Treasures of a Library: The High Impact Services to the Society (Rahsia-rahsia yang tersembunyi dalam mempertingkatkan perkhidmatan perpustakaan terhadap komuniti) merupakan perkongsian pengalaman dan pemerhatian panel menerusi hasil lawatan di beberapa perpustakaan yang terdapat di dalam negara. Hasilnya, beliau telah merumuskan penemuan beliau kepada empat skop utama untuk mengenalpasti permata-permata yang tersorok dalam pengurusan perpustakaan di negara ini.

1. Progressive Mindset

Panel berpendapat bahawa pengurusan perpustakaan perlu melihat kepada aspek nilai tambah terutamanya dalam eco-system pengurusan perpustakaan bagi penghasilan outcome atau impak yang mantap daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Aspek ini boleh dijalankan secara strategic partnership dengan kerjasama pihak-pihak tertentu bagi memastikan segala program dan aktiviti yang dijalankan tidak bergantung sepenuhnya kepada kewangan dalaman sahaja. Nilai tambah bagi penglibatan aktiviti yang dijalankan, secara tidak langsung akan memberi impak kepada komuniti dalam pengurusan perpustakaan terutamanya dari sudut  penggunaan teknologi semasa.

Pengurusan perpustakaan juga perlu mengenal pasti kehendak dan keperluan pengguna dan komuniti sekitar (customer oriented) seterusnya mengambil peluang ini untuk meningkatkan mutu pengurusan perpustakaan agar segala aktiviti yang dijalankan dapat memberi impak kepada komuniti. Panel turut menyatakan elemen bakat (talent) dalam mengurus perpustakaan selain membuat semakan berkala bagi polisi sedia ada agar perkhidmatan yang disediakan menepati kehendak dan keperluan pengguna pada masa kini.

2. Roles & Responsibilities

Dalam konteks penggunaan ruang dan kemudahan perpustakaan, garis panduan pengurusan perpustakaan yang bersifat terbuka perlu diperhalusi semula bagi memastikan fungsi dan peranan perpustakaan dapat diperluas dan dikembangkan sekaligus memastikan isu-isu berkaitan komuniti dan masyarakat tidak dipinggirkan. Perpustakaan juga boleh dijadikan sebagai tempat aktiviti sosial ekonomi bagi masyarakat setempat dalam menonjolkan produk dan kepakaran yang ada di kalangan mereka. Selain itu, perpustakaan juga boleh dijadikan sebagai daya tarikan aktiviti pelancongan dengan menjadikan perpustakaan sebagai salah satu platform memperkenalkan budaya setempat.

Perpustakaan seharusnya sentiasa bersedia, bersikap terbuka dan memberikan perkhidmatan yang terkini selari dengan keperluan semasa dan perubahan yang berlaku. Keperluan inovasi, kreativiti dan idea di Perpustakaan juga perlu selari dengan perkembangan dan keperluan semasa dalam masyarakat.

3. Impacts & Measurements 

Pengurusan perpustakaan yang kreatif dan berinovasi dalam mengurus perpustakaan akan dapat mengembangkan peranan perpustakaan terutamanya bagi menarik minat komuniti terhadap perpustakaan. Ukuran kejayaan sesebuah perpustakaan bukan hanya berdasarkan kepada bilangan aktiviti atau program yang dijalankan di sesuatu Perpustakaan tetapi ianya perlulah diukur melalui impak aktiviti tersebut terhadap masyarakat dan komuniti setempat.

4. Conducive Environment 

Pengurusan perpustakaan seharusnya lebih kreatif dalam memperkasakan perpustakaan dengan menggunakan sumber, kemudahan dan fasiliti yang sedia ada dengan optima, serta menjadikan perpustakaan sebagai tempat aktiviti atau riadah komuniti setempat. Perpustakaan bertanggungjawab mengubah minda dan persepsi komuniti, dengan mempelbagaikan aktiviti serta program mengikut keperluan dan kehendak pengguna dan bukan hanya menjalankan rutin sedia ada. Perpustakaan perlulah mensasarkan aktiviti yang bersesuaian mengikut kelompok dan kategori pengguna. Galeri berkaitan aktiviti komuniti juga boleh diwujudkan dan diabadikan di Perpustakaan, ia secara tidak langsung memberi peluang kepada komuniti untuk memperkenalkan aktiviti komuniti dan sekali gus menarik keterlibatan golongan muda.

 

Share this :