Program BookSharing@UTMKL 2022 Siri 6 telah diadakan pada Khamis, 09 Jun 2022. Dua orang pengulas yang telah dijemput iaitu Puan Aishah Abd Latiff, Penolong Pegawai Tadbir Kanan, Pejabat Pemajuan & Pengurusan Perniagaan (ABM) Kuala Lumpur dan Encik Mazwan Hishammuddin Shamsudin, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, UTM Digital Kuala Lumpur. Moderator ialah Puan Nurrull Huda Abdul Wahid, Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTM KL.

Pengulas pertama iaitu Puan Aishah Abd Latiff memilih buku Terapi Hati yang ditulis oleh Abu Amirul. Buku ini merupakan sebuah buku motivasi yang santai dan berbentuk Islamik yang mengajak manusia lebih berwaspada dan menjaga hati daripada ‘kuman-kuman’ mazmumah.

Puan Aishah Abd Latiff mengulas sebuah buku bertajuk Terapi Hati

Buku ini menceritakan hati sebagai peranan penting dalam menentukan baik atau buruknya perilaku seseorang dan pelbagai masalah jiwa yang mengganggu hati manusia. Antaranya putus asa, rendah diri, buruk sangka, cepat marah, pendendam, jiwa kosong dan tekanan. Sifat hati juga boleh dikategorikan kepada positif dan negatif. Buku ini turut membantu untuk merawat dan memelihara segumpal hati iaitu dengan memerlukan bantuan akal kurniaan dan nikmat dari Allah swt. Terdapat pelbagai cara merawat hati yang dipaparkan di dalam buku ini, antara lain seperti kembali memohon ampun dan bertaubat kepada Allah swt, redha dan bersabar, bersyukur dengan setiap ujian yang diberikan, ikhlas dalam beribadat dan menerima ketentuan Ilahi serta sentiasa berdoa.

Pengulas seterusnya iaitu Encik Mazwan Hishammuddin Shamsudin yang telah memilih buku Nasihat Pak Bidan Untuk Wanita yang ditulis oleh Prof. Dr. Hamid Arshat sebagai perkongsian bersama. Buku ini membantu semua pasangan, sama ada yang akan menimang cahaya mata atau yang berusaha ke arah itu. Buku ini mempunyai empat (4) bab utama iaitu proses penzuriatan, komplikasi kehamilan, kelahiran dan penyakit-penyakit lazim wanita. Di dalam topik proses penzuriatan, penulis memasukkan banyak panduan bernas termasuklah perkongsian doa Nabi Zakaria. Antara panduan untuk hamil yang dinyatakan adalah berkahwin awal, berjumpa doktor, mengamalkan diet yang baik, menjalani gaya hidup sihat dan makan makanan tambahan terbaik untuk kehamilan.

Encik Mazwan Hishammuddin Shamsudin mengulas buku bertajuk Nasihat Pak Bidan Untuk Wanita

Bukan itu sahaja, buku ini turut menjelaskan komplikasi kehamilan, pendarahan peringkat awal dan akhir kehamilan, toksik kehamilan, mencegah keguguran dan mengatasi kecacatan bayi. Selain menjaga kesihatan wanita secara umum, pengetahuan tentang pencegahan penyakit yang biasa dihidapi wanita juga diberi penjelasan agar dapat membantu para ibu bapa yang masih baru dalam dunia keibubapaan.

 

 

Share this :