Program Bicara Karya kali ini yang membawa judul “Berani Speaking” telah dilaksanakan pada 27 Jun 2022 menerusi FB Live Perpustakaan UTM dan Youtube Library UTM TV. Penonton amat bertuah kerana panel jemputan adalah penulis buku ini sendiri iaitu Ridzuan A. Ghani yang dikenali sebagai Coach Ridz dan isteri iaitu Rasheedah Zakariya yang dikenali sebagai Coach Sha di mana buku yang ditulis oleh mereka ini telah mendapat pengiktirafan dari Perpustakaan Negara Malaysia dan telah diedarkan di seluruh Perpustakaan Desa di Malaysia. Moderator bagi program ini ialah Puan Syaza Soraya Sauli, ahli UTM Toastmasters Club dan juga pelajar PhD Psikologi Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM.
Sebagai pengenalan, Coach Ridz menceritakan bahawa mereka mengajar Bahasa Inggeris sejak tahun 2002 dan seterusnya pula terlibat untuk mengajar Bahasa Inggeris kepada orang dewasa. Berikutan daripada subjek Sains dan Matematik disekolah perlu diubah kepada Bahasa Inggeris yang telah diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003, terdapat ramai cikgu yang telah meminta mereka untuk mengajar Bahasa Inggeris supaya proses pengajaran dan pembelajaran kepada murid-murid bagi subjek tersebut dapat dilaksanakan dengan baik.
Buku Berani Speaking ini terbahagi kepada empat bahagian utama dengan nama yang unik iaitu Surface, Snorkeling, Scuba Diving dan Submarine. Coach Ridz juga membongkar disebalik tercetusnya tajuk unik ini adalah disebabkan apabila seringkali berjumpa dengan pelajar, mereka akan mengadu bahawa mereka ingin bercakap bahasa Inggeris tetapi mereka takut dan jawapan dari Coach Ridz kepada pelajar adalah “beranilah..”. Selain itu, beliau berkata kelebihan buku ini adalah mahu fokus peringkat asas khusus kepada orang melayu yang mengikut sistem persekolahan dan pembelajaran di Malaysia di mana rata-rata sudah belajar bahasa Inggeris tetapi belum cukup yakin untuk bertutur.
Coach Sha pula berkongsi sewaktu beliau belasan tahun, semasa beliau berpindah sekolah ke sekolah di luar negara yang memang berbahasa Inggeris, beliau telah ditempatkan di Kelas Peralihan (ESL) iaitu English as a Second Language di mana di dalam kelas tersebut para pelajar hanya perlu mendengar, bercakap dan bermain permainan bahasa Inggeris yang mudah contohnya seperti crosswords. Ini kerana mereka perlu mempersiapkan diri sebelum bertukar ke kelas biasa bersama rakan-rakan lain supaya mereka lebih mudah faham apa yang diajar di dalam kelas.
Dalam perkongsian ini juga beliau berkata bahawa, mengajar bahasa Inggeris kepada kanak-kanak yang ibu ayahnya bukan bertutur dalam bahasa Inggeris sepenuhnya di rumah memerlukan pendekatan yang berbeza. Dalam sesi pengajaran juga tidak perlu tergesa-gesa kerana Bahasa Inggeris ini bukanlah bahasa utama dan ia berbeza peringkat bagi setiap individu.
Buku ini juga terhasil daripada kemahiran dan teknik melalui pengalaman sendiri, pengalaman pelajar-pelajar dan juga rakan-rakan seangkatan telah dikumpulkan dan seterusnya dibukukan untuk memberi inspirasi dan sumber rujukan motivasi kepada orang lain.