Sesi Read & Relaks Siri 9 anjuran Jabatan Perpustakaan UTM telah diadakan pada hari Khamis, 30 Jun 2022 secara dalam talian melalui aplikasi Webex yang dipancarkan di Facebook Perpustakaan UTM serta Youtube UTM Library. Panel jemputan terdiri daripada staf Perpustakaan sendiri iaitu Puan Uji Rohani Ahmad yang merupakan Setiausaha Pejabat dan Puan Norazalina binti A. Samad, Pembantu Setiausaha Pejabat. Manakala moderator program ialah Pn Siti Anniza Aznan, Pembantu Pustakawan.
Pengulas pertama iaitu Puan Norazalina binti A. Samad telah memilih untuk mengulas sebuah buku bertajuk “The World Encyclopedia of Stamps & Stamp Collecting” oleh Jamed Dr. Mackay. Sumber bacaan ini sesuai dijadikan sebagai panduan untuk memulakan hobi mengumpul setem. Pelbagai contoh dan cerita tentang setem, termasuklah setem edisi terhad. Selain itu, terdapat juga setem yang menjangkau hampir dua abad, serta nasihat tentang harga dan panduan tentang pemerolehan setem. Pengenalan yang mendalam menjejaki evolusi perkhidmatan pos, daripada zaman mel roman berkuda yang bergegas ke barisan hadapan pertempuran hingga penerbangan Zeppelin zaman perang, dan kemunculan kereta api, bot dan udara sebagai kaedah penghantaran besar-besaran. Serba sedikit dapat membantu pengumpul memahami nilai koleksi mereka sendiri, dan kepentingan memelihara setem. Kaedah pengumpulan yang berbeza, dan aspek praktikal membina serta cara menyelenggara koleksi, turut dibincangkan secara terperinci dan dikongsikan di dalam buku ini.
Selain dari minat yang mendalam dalam pengumpulan setem, buku ini di pilih kerana padat dengan grafik berwarna yang menarik. Pelbagai koleksi setem dari seluruh pelusuk dunia disertakan di dalam buku tersebut. Menariknya, buku ini juga telah dapat menarik minat anak saudara pengulas yang berumur 7 tahun untuk mengumpul setem. Buku ini ternyata tidak terhad kepada orang dewasa sahaja namun ianya sesuai bagi semua lapisan masyarakat kerana isi nya yang berwarna serta ringkas dapat menarik minat membaca di kalangan kanak-kanak. Pengulas mengatakan aktiviti mengumpul setem ini dapat mendedahkan diri beliau dalam mengenali setiap negara tersebut. Pengulas juga sempat berkongsi beberapa koleksi buku setem yang di miliki oleh beliau sedari kecil. Antara koleksi yang dimilikinya diperolehi sejak dari bangku sekolah lagi dengan menyertai kelab pengumpul setem dan juga kelab rakan pena. Pengulas mengatakan setem yang paling lama dimiliki oleh beliau adalah warisan dari arwah bapanya yang juga mempunyai minat yang sama.
Pengulas kedua ialah Puan Uji Rohani Ahmad UTM telah memilih buku bertajuk Minimalis yang ditulis oleh Faridah Ghazali. Pengulas tertarik dengan buku ini adalah kerana ingin mencabar diri dalam memberi fokus penambah baikan kepada perkara yang lebih penting dalam menguruskan kehidupan harian. Amalan minimalis ini dapat membantu pembaca dalam menguruskan masa dengan lebih baik, dan masa yang terluang pula dapat di isi dengan aktiviti kerohanian. Ringkasnya isi kandungan buku ini berkonsepkan motivasi yang menekankan perkara yang melibatkan aspek tentang penjagaan solat dan juga mengamalkan membaca Al-Quran. Terdapat juga perkongsian menghadapi tekanan kehidupan, dalam menguruskan rutin harian supaya kerja rumah dapat di selesaikan dengan lebih tersusun. Mempraktikkan minimalis dalam kehidupan akan menghasilkan hidup yang lebih berkualiti, lebih masa, lebih ruang, lebih penghargaan, lebih jimat dan semestinya lebih bebas. Bebaskan diri daripada terperangkap dengan keinginan norma yang tiada batasan. Kata-kata menghindarkan diri dari mengatakan kehendak itu sebagai keperluan antara penulisan yang paling menarik hati pengulas. Contoh yang paling dekat di gambarkan ialah dalam menguruskan pakaian seharian yang mana setiap orang akan membezakan setiap pakaian mengikut majlis yang di raikan, walhal jika setiap orang dapat mengunakan baju yang sama secara berulang akan dapat menjimatkan ruang simpanan.
Antara tindakan yang di ambil oleh pengulas dalam mengamalkan minimalis adalah dengan mengurangkan penyimpanan bekas plastik makanan yang ada di rumah. Tips yang boleh di gunakan untuk memulakan sikap minimalis adalah dengan menolak untuk membeli. Jika keinginan untuk membeli itu masih kuat, pembelian boleh di salurkan kepada ahli keluarga yang lain dengan niat bersedekah. Ini dapat mengelakkan berlakunya penambahan barang di dalam rumah. Terdapat petikan menarik yang boleh di ambil di dalam buku tersebut yang mengatakan “kediaman bukan muzium. Kenangan dengan orang tersayang sebenarnya berada dalam hati kita, bukan dengan cara membebankan hidup kita, terikat dengan kebendaan yang akhirnya membataskan pergerakan kita”. Mempraktikkan minimalis dalam kehidupan akan menghasilkan hidup yang lebih berkualiti, lebih masa, lebih ruang, lebih penghargaan, lebih jimat dan semestinya lebih bebas. Bebaskan diri daripada terperangkap dengan keinginan norma yang tiada batasan. Meminimalis hidup bukan sekadar berkisar material sahaja tetapi juga emosi, minda dan urusan kejiwaan.