Pertandingan SDG Perpustakaan Akademik dilancarkan pada 1 Mac 2022, oleh Jawatankuasa Tetap Perpustakaan Akademik, Persatuan Pustakawan Malaysia. Pertandingan ini terbuka kepada semua Perpustakaan Akademik di Malaysia. Ia bertujuan untuk menggalakkan warga perpustakaan akademik untuk menerapkan elemen kelestarian dalam penyampaian perkhidmatan perpustakaan.

Perpustakaan UTM melalui Projek Terangi Hatiku: Bahan Braille Special Learning Tool Kit (SLTK) adalah antara 10 finalis utama yang terpilih ke peringkat akhir pertandingan. Projek ini merupakan inisiatif khidmat masyarakat Perpustakaan UTM dalam membangunkan minat serta keperluan membaca murid berkeperluan khas (MBK) kelainan upaya penglihatan di SKPK Princess Elizabeth Johor Bahru selari dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan – SDG 14, SDG 10, SDG 12, SDG 16 dan SDG 17. Projek ini berjaya menghasilkan 15 judul Special Learning Toolkits (SLTK) dalam bentuk braille dan kemudian diinovasikan dalam format audio melalui imbasan kod QR.

Perpustakaan UTM akhirnya diumumkan sebagai pemenang tempat pertama dalam satu majlis dalam talian pada 7 Jun 2022 (Selasa) dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000.

Sekalung TAHNIAH diucapkan kepada semua yang menjayakan projek ini dan semoga inisiatif ini memberi manfaat kepada golongan kurang upaya penglihatan.

 

Share this :