Siri ketiga program bicara pengurusan telah diadakan pada 30 Mei 2022 (Isnin) jam 2.30 hingga 3.30 ptg secara dalam talian. Panel adalah Encik Mohd Razib Karno, Timbalan Ketua Pustakawan, Automasi dan Perkhidmatan. Perkongsian merangkumi modul iaitu perancangan halatuju teknologi maklumat, sistem automasi relevan kepada pengguna dan cabaran kepakaran IT dalam pustakawan.

Bicara Pengurusan bagi siri yang ketiga ini telah diadakan pada 30 Mei 2022 bersamaan dengan hari Isnin pada jam 2.30 petang hingga 3.30 petang melalui platform atas talian Webex. Bicara pengurusan pada kali ini telah menampilkan Encik Mohd Razib bin Karno, Timbalan Ketua Pustakawan (Automasi dan Perkhidmatan) dari Perpustakaan UTM.

Bicara kali ini tertumpu kepada 3 modul utama iaitu:

  1. Perancangan halatuju teknologi maklumat
  2. Sistem automasi relevan kepada pengguna
  3. Cabaran Kepakaran IT dalam kerjaya pustakawan

Di bawah modul perancangan halatuju teknologi maklumat, Encik Razib telah menerangkan dengan jelas tentang apa yang telah berlaku sepanjang perkembangan teknologi maklumat di negara kita ini dan bagaimana Jabatan Perpustakaan UTM turut sama menggiatkan usaha dalam mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran teknologi maklumat, selaras dengan hasrat universiti itu sendiri yang mahu mengoptimumkan penggunaan kepakaran teknologi maklumat dalam jabatannya.

Modul seterusnya adalah berkaitan sistem automasi di mana ia merupakan sesuatu yang tidak dapat sama sekali dinafikan impaknya dalam hampir semua kerjaya yang melibatkan elemen teknologi di dunia. Di sini En. Razib telah menerangkan tentang bagaimana sistem automasi itu sangat relevan untuk diintegrasikan dalam perkhidmatan perpustakaan kepada pengguna, mempercepatkan satu-satu proses permohonan sama ada secara fizikal mahupun virtual. Hal ini pasti akan memberi impak kepada kualiti perkhidmatan perpustakaan di masa akan datang.

Modul terakhir melibatkan penerangan tentang cabaran terhadap kerjaya pustakawan dalam memperkukuhkan kepakaran IT dalam bidang tugasnya. Seperti yang telah kita sedia maklum, teknologi maklumat berkembang dengan sangat pantas dan sentiasa mempunyai penambahbaikan berterusan. Hal ini hakikatnya memerlukan pustakawan untuk bergerak pantas dalam mengambil tahu tentang isu-isu teknologi maklumat dan juga kemahiran secara teknikal dalam mengaplikasikan kemahiran teknologi maklumat itu sendiri terhadap tugas mereka dalam menyampaikan maklumat atau memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

Share this :