Program Read & Relax Perpustakaan UTM Johor Baharu siri ke-11 pada kali ini telah diadakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). Dua  panel pengulas telah dijemput iaitu Tengku Tarmizi Bin Tengku Aziz Pustakawan Kanan, Perpustakan Sultan Ismail, Johor Bahru dan Encik Abdul Hafiedz Bin Abdul Ghazali, Penolong Pengarah, Khidmat Pengurusan, Majlis Bandaraya Johor Bahru. Moderator program kali ini adalah Encik Muhammad Afiq Izzudin Bin Mat Jari, Pustakawan, Perpustakaan UTM.

Tengku Tarmizi Bin Tengku Aziz mengulas buku bertajuk Kompilasi Travelog 7 Benua.

Program dimulakan dengan pengulas pertama iaitu Tengku Tarmizi Bin Tengku Aziz yang memilih buku bertajuk Kompilasi Travelog 7 Benua. Pengulas memaklumkan bahawa buku ini mengisahkan perkongsian perjalanan ringkas 8 pengembara yang mempunyai latar belakang yang berbeza tapi mempunyai minat yang sama iaitu mengembara ataupun berbackpacking ke destinasi pilihan mereka. 8 pengembara tersebut ialah Badrul Hisham, Nordin Yahya, Ida Yunos, Rafiee Ghani, Nazri Arshad, Siti Noridah, Wazari Wazir dan Meor Farid Asyradi. Buku ini telah diterbitkan oleh Travel Planet dan buku ini boleh diperolehi dengan harga RM25 senaskah.

Setiap pengembara mempunyai cerita-cerita tersendiri. Penulis banyak bercerita mengenai tempat-tempat menarik yang mereka pergi dan juga kisah dalam perjalanan ke tempat itu, disamping  menceritakan mengenai sejarah tempat yang dilawati. Semua cerita-cerita ini ditulis dalam bentuk tulisan cerita yang pendek. Ianya merupakan sebuah buku yang amat menarik untuk dimiliki dan dibaca oleh semua peringkat umur.

Encik Abdul Hafiedz Bin Abdul Ghazali mengulas buku bertajuk Eat People And Other Unapologetic Rules For Game-Changing Entrepreneurs.

Selain itu, pengulas berpendapat buku ini boleh dijadikan sebagai panduan yang berguna dan juga sebagai  sumber inspirasi terutamanya kepada para pendengar yang bercadang mahu mengunjungi negara ataupun tempat-tempat yang telah dikunjungi oleh penulis. Pengulas mengatakan buku ini sangat mudah difahami dan dihayati oleh pembaca kerana penceritaan di dalam buku ini telah ditulis secara ringkas dengan gaya bahasa yang mudah difahami.

Panel seterusnya adalah Encik Abdul Hafiedz Bin Abdul Ghazali dengan tajuk bukunya Eat People And Other Unapologetic Rules For Game-Changing Entrepreneurs. Pengulas memaklumkan buku ini menceritakan mengenai falsafah dan prinsip dalam ekonomi dan keusahawanan yang di tulis oleh Andy Kessler, merupakan seorang pengarang terlaris di New York Times dalam Wall Street. Penulis  mempunyai pengalaman yang luas sebagai seorang jurutera dan juga berkecimpung dalam bidang keusahawanan di Wall Street.

Prinsip utama dalam keusahawanan yang ditulis oleh penulis adalah bukan sahaja kepada keuntungan tetapi ianya lebih kepada bagaimana  usahawan tersebut dilaksanakan dan dapat membantu beberapa pihak. Berdasarkan kepada bab 7, penulis telah menjelaskan bagaimana perubahan teknologi telah mengubah cara beroperasi dalam beberapa sektor di sesebuah perkilangan untuk meningkatkan produktiviti operasinya.

Pengulas, memaklumkan pengajaran yang diperolehi daripada buku ini  dapat membantu  membuka minda pembaca terutama kepada setiap usahawan yang mahu mempelajari pengalaman penulis dalam menguruskan perniagaan. Setiap kejayaan yang dicapai tidak boleh dicapai dengan mudah dimana ianya memerlukan usaha bagi mencapai kejayaan. Buku ini  juga boleh dijadikan sebagai panduan kepada generasi muda untuk mempelajari pengalaman daripada penulis dalam usaha untuk menceburi bidang keusahawanan.

Pengulas memaklumkan buku yang dihasilkan ini adalah berbentuk santai dan mudah difahami kerana buku ini ditulis berdasarkan kepada pengalaman penulis itu sendiri secara peribadi dan mudah dihayati serta ianya juga boleh dijadikan sebagai bahan bacaan Bahasa Inggeris yang mudah difahami.

Kedua-dua panel bersetuju untuk menggalakkan setiap masyarakat untuk membaca dalam bentuk apa jua bahan bacaan yang dapat menambah pengetahuan setiap pembaca dan seterusnya dikongsi kepada masyarakat agar bahan bacaan yang dibaca tersebut dapat memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling.

Share this :