Program Read & Relax Siri 12/2022 ini telah dianjurkan secara sinergi bersama dengan UTM Toastmasters Club diadakan secara dalam talian yang dipancarkan menerusi Facebook dan Youtube Perpustakaan pada  11 Ogos 2022 (Khamis). Dua orang ahli panel telah diundang untuk siri kali ini iaitu Pn. Nadhirah Baharin dari Great Eastern Takaful dan Pn. Rohana Azizan dari lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan. Pn. Nadhirah telah memilih bahan bacaan berjudul ‘You Are Loved’ manakala Pn. Rohana telah memilih bahan bacaan berjudul ‘Nirnama’ untuk dikongsikan kepada para penonton.

Buku ‘You Are Loved’ tulisan Mizi Wahid ini berkisarkan tentang kisah cinta dan kasih sayang berdasarkan pengalaman dan pertanyaan orang-orang awam kepada penulis dan telah dihimpunkan dalam sebuah buku. Menurut pengulas, penulis buku ini menyatakan bahawa perasaan kurangnya cinta dan kasih sayang merupakan sesuatu yang datang daripada diri kita sendiri.

Kepercayaan bahawa kurangnya cinta kerana kelemahan diri sendiri secara perlahan akan menghancurkan diri kerana fikiran akan didominasi perasaan benci kepada diri sendiri. Sebagai contoh, kebanyakan kanak-kanak yang kurang kasih sayang dan cinta pada masa kini akan menyebabkan jiwa mereka hancur dan hal ini mendorong penulis untuk menulis buku ini sebagai motivasi kepada pembaca yang ingin mencari kebahagiaan dan kesembuhan dari segala perasaan benci kepada diri sendiri lantaran kurangnya kasih sayang.

Pengulas menyifatkan bahawa sekiranya sesorang dapat menyayangi diri mereka sendiri, mereka akan mendapat cinta dan kasih sayang yang sepenuhnya. Buku Mizi Wahid ini membantu kita untuk mendapatkan ikatan cinta dengan mencari semula cinta sejati. Antara tips yang diberikan oleh penulis ialah berikan secebis diri kita untuk orang lain. Sebagai contoh, apabila kita perlukan peneman kita jadilah peneman kepada orang lain. Jika kita ingin orang mendengar resah kita jadilah pendengar setia kepada orang lain. Apabila kita tidak bakhil dengan apa yang Allah beri kepada orang lain, nescaya kita akan diberikan ganjaran yang lebih.

Buku yang kedua dikongsikan di dalam siri kali ialah sebuah novel berjudul Nirnama. Buku ini mengisahkan seorang pendekar yang dikenali sebgai pendekar tanpa nama dan pengembaraan beliau dalam menumbangkan kebatilan dan menegakkan kebenaran. Nirnama merupakan seorang yang pendiam, suka membantu dan ikhlas dalam memberikan bantuan menyebabkan beliau terkenal dan dikenali ramai. Sepanjang pengembaraan, beliau berjumpa sahabat-sahabat yang menjadi tulang belakang kepada perjuangan Nirnama. Teman pengembaraannya iatu Naim, sang kancil.

Kebijaksanaan Sang Kancil dalam meruntuhkan kerajaan Sungai Ujung telah dicungkil oleh Nirnama. Mereka juga berjumpa dengan srikandi Cendana yang menegakkan hak wanita. Sebagai seorang ketua, beliau sering dipandang rendah oleh rakyat jelata. Beliau bertegas bahawa wanita juga boleh menjadi seorang pendekar dan berjuang di medan perang. Ketiga-tiga mereka ini merupakan sahabat yang saling membantu dan mencari potensi diri masing-masing. Pengembaraan Nirnama yang asalnya solo kini telah lebih banyak ragamnya. Novel ini juga mengetengahkan semangat setiakawan dan juga kecintaan membantu sesama sendiri tanpa mengira pangkat, darjat dan juga nama. Perjalanan tiga sekawan mengembara bertemu dengan Puteri Santubung, Puteri Sejinjang, Mat Jenin dan watak-watak yang telah diolah menjadi sesuatu yang lain. Sebagai contoh, watak Mat Jenin yang selalu berangan tidak benar kerana Mat Jenin merupakan seorang yang bercakap dengan fakta tanpa diketahui oleh rakyat jelata. Keyakinan dan kekuatan yang diberikan kepada Mat Jenin daripada tiga sekawan ini telah membantu Mat Jenin dalam menumpaskan konco-konco Jagat Suci yang merupakan watak antagonis dalam Nirnama.

Share this :