Majlis Penghargaan Penulisan Buku “UTM: Penyelidikan Berimpak Mensejahtera Masyarakat” telah diadakan pada 21 Ogos 2021 di Bilik Seminar, Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah Johor Bahru. Majlis ini diadakan bagi meraikan kesemua Ketua Penyelidik dan Penulis yang telah bertungkus lumus bagi merealisasikan penerbitan buku yang mengangkat pengkisahan 14 penyelidikan berimpak UTM. Buku ini merupakan hasil Projek Pengurusan Pengetahuan Perpustakaan UTM yang dicetus oleh mantan Naib Canselor UTM, Yang Berbahagia Datuk Dr Wahid bin Omar dan seterusnya kepada mantan Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM iaitu Puan Noraziah Sharuddin.

Majlis telah dimulakan dengan ucapan aluan Puan Nor Asikin Mohamed, Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM dan diikuti ucapan penghargaan dan tahniah daripada Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail, Naib Canselor UTM kepada semua yang terlibat dalam penulisan dan penerbitan buku “UTM: Penyelidikan Berimpak Mensejahtera Masyarakat”.

Majlis diteruskan dengan acara penyampaian hadiah kepada semua editor, ketua penyelidik dan penulis buku. Majlis turut merakamkan penghargaan kepada Pihak Penerbit UTM Press diatas Kerjasama yang diberikan sepanjang penerbitan buku ini.

Kegigihan penyelidik UTM dalam menyantuni citra masyarakat adalah sesuatu yang membanggakan dan kejayaan ini seharusnya dikongsikan bersama. Segala perit jerih serta pengorbanan dalam memberikan perkhidmatan kepada watan wajar dikenang dan didokumenkan sebaiknya. Di sinilah letaknya peranan Perpustakaan UTM sebagai ‘institutional knowledge’ yang amat penting dalam memastikan kelestarian aset ilmu universiti terpelihara. Para akademia, penyelidik dan perpustakaan seharusnya bekerjasama dan saling melengkapi dalam memperkasa sebuah ekosistem penyelidikan yang dinamik.

 

 

 

Share this :