Pada 22 September 2022, Jabatan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah menganjurkan Program K- Sharing yang membawa tajuk “Kampong Bharu Talk: Perjalanan Sebagai Bandar Melayu Moden”. Program ini telah bersiaran langsung menerusi Facebook UTM Library Kuala Lumpur selama 1 jam bermula 2.30 petang sehingga 3.30 petang. Program yang dikendalikan oleh moderator Puan Noor Ayesha Mohd Ezanee menampilkan jemputan khas yang tidak asing lagi iaitu Tuan Haji Shamsuri Suradi yang merupakan Setiausaha Kehormat Merangkap Naib Yang Dipertua Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampong Bharu. Objektif utama perkongsian ini dilaksanakan adalah sebagai platform kepada semua pihak terutamanya warga UTM bagi mengenali sedikit sebanyak berkaitan “Kampong Bharu”.
Pada awal pengenalan program, panel menceritakan sedikit latar belakang dan asal usul kewujudan Kampong Bharu merangkumi pembahagian yang terdiri daripada tiga (3) bahagian iaitu Kampong Bharu yang telah diwartakan, kedua merupakan kawasan Kampong Bharu selepas perang dunia ke dua dan yang ketiga ialah Kampong Bharu Felda. Cadangan awal tertubuhnya kawasan “Kampong Bharu” ini asalnya, sebagai kawasan pentadbiran dan pertanian bagi orang Melayu, tetapi projek tanaman tidak dapat dilaksanakan atas beberapa faktor tertentu seperti struktur muka bumi yang kurang sesuai ditambah lokasi tersebut berdekatan pula dengan sungai, menyumbang kepada risiko berlakunya banjir.
Oleh itu, kawasan tersebut telah ditukar kepada kawasan penempatan bagi penduduk. Panel turut berkongsi peranan MAS dilihat sebagai local council dalam memantau pemberian tanah, mengawal secara faraid seperti yang terkandung dalam enakman dan jika berlaku apa- apa perubahan di Kampong Bharu, MAS akan bertindak campur tangan dalam memainkan peranan tersebut. Penempatan tanah ini dibuka menurut definasi “Melayu”, individu tersebut perlu berbahasa Melayu, berbudaya Melayu, dan beragama Islam. Keadaan ini ditambah apabila berlakunya penambahan bilangan penduduk kesan daripada pemberontakan di Sumatera, Indonesia. Penduduk di sana telah berhijrah ke Tanah Melayu secara berkelompok yang terdiri daripada pelbagai etnik yang turut membawa tradisi mereka malah dibenarkan memiliki tanah sendiri dengan syarat tidak melebihi dari satu ekar.
Masa berlalu, dan MAS berubah dibawah tadbir Inggeris kepada pihak Jepun, turut membawa slogan “Asean Untuk Asean” telah membangkitkan kesedaran orang- orang melayu ketika itu, untuk menuntut kemerdekaan serta kebebasan daripada pihak Inggeris. Pihak MAS turut menentang Malayan Union bersama UMNO sehingga Tanah Melayu mendapat kemerdekaan. Keadaan bertambah runcing apabila, Kuala Lumpur telah berpisah daripada Selangor menjadikan kawasan Kampong Bharu sebagai tempat rujukan utama untuk mencari pekerjaan. Kesan daripada keadaan ini, masyarakat mulai risau akan kenaikan cukai pintu dan sebagainya. Perubahan demi perubahan, Kampong Bharu masih gagal untuk dibangunkan sehingga sekarang, atas beberapa faktor seperti isu persempadanan tanah sendiri, tanah yang telah bertuan dan telah dimiliki, dimana ianya tidak boleh dipertikaikan lagi seperti dalam rekod pemilikan tanah lot yang telah didaftarkan dalam “Buku Daftar Kampong Bharu”. Menambahbaik kawasan dengan menaik taraf jalan Sultan Ismail merupakan satu contoh kawasan Kampong Bharu yang telah dibangunkan untuk kebaikan bersama. MAS bersama pemimpin ketika itu, telah melalui pelbagai proses dan perbincangan dari semasa ke semasa untuk terus menambahbaik penstrukturan semula Kampong Bharu. Kawasan yang sinonim dengan pelbagi pilihan tempat makan yang menarik turut menambah masalah lain seperti kesesakan trafik, kebersihan, masalah parkir, dan ini tidak sesuai dijadikan sebagai penempatan penduduk.
Beliau berpandangan bahawa semua pihak perlu untuk tidak membangkitkan isu yang tidak mungkin akan dapat diselesaikan. Peristiwa berdarah 13 Mei 1969, merupakan titik hitam dalam sejarah perkauman negara. Oleh kerana itu, kita perlu bersama-sama memberi pendedahan agar masyarakat tidak mempunyai sentimen perkauman dan fokus ke arah matlamat yang hendak dicapai demi pembangunan bersama. Sikap saling hormat menghormati, bertolak ansur perlu dipupuk dipelbagai lapisan masyarakat agar pertumpahan darah, sikap pulau memulau tidak berlaku lagi dalam masyarakat supaya dapat hidup dengan keadaan aman dan damai. Menurut beliau, mengupas isu Kampong Bharu ini, telah berlarutan sehingga 47 tahun. Oleh itu, besar harapan beliau agar semua pihak perlu bersama- sama berganding bahu mencari jalan terbaik memandangkan usia Kampong Bharu telah mencecah 122 tahun. Pada penghujung program, beliau turut menjawab beberapa soalan dari penonton dan dapat dirumuskan, semua pihak perlu berbincang serta merancang pembangunan di Kampong Bharu secara berperingkat. Ini kerana, Kampong Bharu merupakan satu-satunya pusat bandar Melayu yang masih releven sehingga kini. Ini penting, agar ianya menjadi warisan kepada generasi akan datang.