Program BookSharing@UTMKL Siri 11 telah diadakan pada 18 Ogos 2022 (Khamis) secara fizikal dan dalam talian menerusi Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM. Istimewanya kali ini, dua penyampai yang dijemput untuk membuat perkongsian ialah Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad dan Dr. Rahayu Tasnim dari Malaysia- Japan International Institute of Technology (MJIIT). Moderator untuk siri kali ini adalah Puan Sharifah Ezathul Imma Syed Zainal Abidin, Pustakawan Kanan.

Pengulas pertama, Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad telah memilih buku Pride and Prejudice. Beliau menceritakan bahawa buku ini memaparkan kisah golongan peringkat pertengahan  yang penuh dengan nilai kekeluargaan dan persahabatan. Ia bermula dengan seorang lelaki muda dan kaya yang bernama Mr Bingley yang berpindah ke Netherfield Park. Mrs Bennet merasakan inilah masa paling sesuai untuk menjodohkan anak perempuannya, Jane Bennet dengan Mr Bingley. Sewaktu majlis tari menari di Meryton, Mrs Bennet mengambil peluang memperkenalkan Mr Bingley dengan Jane. Majlis tari menari ini jugalah tempat pertemuan pertama antara Elizabeth Bennet dan Mr Darcy. Elizabeth cuba memulakan perbualan tetapi tidak dilayan oleh Mr Darcy dan turut tidak disukai oleh Mrs Bennet.

Pertemuan demi pertemuan antara Elizabeth & Mr Darcy menimbulkan beberapa konflik. Elizabeth duduk beberapa hari di Netherfield Park untuk menemani Jane yang sakit dan berpeluang berbual dengan Mr Darcy. Ketika melawat Charlotte Lucas di Hansford, dia bertemu semula Mr Darcy. Pada saat itulah Mr Darcy meluahkan perasaan kepada Elizabeth. Elizabeth menolak Mr Darcy atas dua sebab iaitu kerana Mr Darcy bertanggungjawab memisahkan hubungan Mr Bingley dan kakaknya – Jane Bennet dan juga kerana sejarah perhubungan Mr Darcy yang membuang Mr Wickham daripada Derbyshire.

Walaubagaimanapun, pertuduhan itu disangkal oleh Mr Darcy. Satu surat telah diberikan kepada Elizabeth dimana Mr Darcy menjelaskan dengan lebih lanjut berkaitan perkara yang sebenar dan akhirnnya menyebabkan Elizabeth malu dengan dirinya sendiri.

Kembara Elizabeth seterusnya bersama ayah dan ibu saudaranya ke Pemberly menemukan semula dia dengan Mr Darcy yang membuat Mr Darcy terlibat dalam penyelesaian masalah adik Elizabeth, Lydia yang ingin berkahwin lari dengan Mr Wickham.

Menurut beliau, secara keseluruhannya, novel  romantis klasik ini tidak hanya memfokuskan kepada kisah percintaan, tetapi juga menerapkan nilai kekeluargaan dan persahabatan kepada golongan pertengahan dan ke atas. Dari sudut lain pula, novel ini mengajar para pembaca untuk tidak melakukan penilaian yang berlebihan kepada seseorang yang akhirnya mungkin akan menyebabkan orang lain itu tersakiti mahupun penilaian yang dilakukan tidak tepat.


Pengulas kedua iaitu Dr. Rahayu Tasnim memilih buku The Muqaddimah yang ditulis oleh Ibn Khaldun atau Ibn Khaldun’s Prolegomena pada tahun 1377. Ibnu Khaldun merupakan seorang sarjana yang  telah  menyumbang  kepada  aspek pendidikan  walaupun  beliau  terkenal  sebagai  ahli  sosiologi  dan  juga  sejarah. Pandangannya berkenaan pendidikan antaranya adalah hasil pengalamannya dalam menuntut  ilmu  pengetahuan  sehingga menjadi  seorang  ilmuan  dan  sarjana  yang disegani.  Kitab  al-Muqaddimah  merupakan  sebuah  karya  ulung  yang  menjadi sumber  rujukan  yang  penting  sehingga  ke  hari  ini  dan  diterjemahkan  dalam pelbagai bahasa untuk memudahkan kefahaman pembacanya.

Menurut Ibnu Khaldun, pembukuan sejarah bukanlah sekadar mengetahui kisah-kisah, dokumentasi, mengenal penguasa dan tokoh, atau meraih ilmu, tetapi lebih lagi dari itu iaitu demi mengenal peristiwa-peristiwa masa lampau dalam rangka memahami dan membina masa depan yang lebih baik.

Ibn Khaldun berpendapat bahawa setiap dinasti mempunyai benih-benih kejatuhan yang tersendiri. Beliau menjelaskan bahawa dewan pemerintah cendurung muncul di pinggir empayar besar dan menggunakan perpaduan kawasan tersebut untuk kepentingan mereka bagi membawa perubahan dalam kepimpinan. Apabila pemerintah baru menempatkan diri mereka di tengah-tengah empayar, mereka menjadi semakin selesa dan lebih prihatin untuk  mengekalkan gaya hidup mereka. Oleh itu, sebuah dinasti baharu akan muncul di pinggir kawasan mereka dan memberi kesan perubahan dalam kepimpinan, memulakan kitaran baharu. Beliau berhujah bahawa jenis masyarakat politik yang terbaik ialah khalifah atau negara Islam, dan berpendapat bahawa teori politik neo-Platonisme al-Farabi dan Ibn Sina dan “negara yang sempurna” adalah sia-sia kerana hukum tuhan,syariah , telah diturunkan untuk mengambil kira kepentingan awam dan akhirat.

Di antara lain di dalam buku ini,Ibn Khaldun mengupas tentang ashabiyah, kemasyarakatan, budaya dan negara, pembinaan bangsa dan negara, pendidikan, ilmu-ilmu dan sumbernya, peradaban, ketamadunan, kekhilafahan serta kerajaan-kerajaan dan pemerintahan silam, penjanaan ekonomi dan sumbernya serta banyak lagi.

Menurut beliau lagi, walaupun buku ini telah lama diterbitkan tetapi kandungannya masih kekal relevan sehingga sekarang dan boleh dijadikan sebagai asas atau panduan untuk memahami dan sifat dan sikap manusia bagi memudahkan untuk menguruskan mereka.

Share this :