Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid, Pejuang Degil Melayu, itulah gelaran yang diberi. Keunikan dan sifat pejuang yang menebal dalam jati diri menjadikan beliau seorang tokoh yang berani demi mempertahankan hak orang Melayu. Justeru itu, Bahagian Pendaftar UTM Kuala Lumpur sinergi bersama Perpustakaan UTMKL telah menganjurkan Program Membangun Personaliti Unggul (MPU) Bicara Tokoh Tan Sri Ainuddin Wahid pada 26 Ogos 2022, Jumaat. Program ini bersiaran langsung melalui Facebook Perpustakaan UTMKL dan Facebook Bahagian Pendaftar UTMKL dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi. Program ini dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Fathi Bin Yusof selaku moderator dengan menampilkan jemputan khas Penulis Buku “Ainuddin: Pejuang Degil Melayu” iaitu Puan Sri Fatini binti Yaacob. Program ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai positif, memastikan pembelajaran yang berterusan dan juga sebagai wadah yang mampu memberikan inspirasi serta impak yang positif dalam kalangan warga Universiti.

Di awal pengenalan, moderator telah berkongsi serba sedikit mengenai latar belakang peribadi dan pendidikan Puan Sri Fatini. Beliau mendapatkan pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Kewartawanan & Penyiaran pada tahun 1981. Kemudian, Puan Sri telah melanjutkan pelajaran di United Kingdom dengan memperoleh Ijazah Sarjana Pengajian Kewartawanan serta memulakan kerjaya sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka. Puan Sri Fatini juga pernah berkhidmat selama 5 tahun sebagai Karyawan Tamu di UTM dan telah menghasikan beberapa buah buku terbitan Penerbit UTMPRESS. Kini, beliau adalah pengerusi Eksekutif Yayasan Kasih Tauhid sejak tahun 2012 lagi. Puan Sri Fatini memulakan bicara dengan menyatakan bahawa gelaran “Pejuang Degil Melayu“ telah ditutur oleh Dato Seri Anwar Ibrahim yang merupakan sahabat baik Allahyarham Tan Sri Ainuddin. Kebangkitan semangat pejuang dalam jati diri Allahyarham Tan Sri Ainuddin ini bermula apabila melihat bagaimana layanan penjajah Inggeris dan Jepun terhadap bangsa Melayu. Ketika itu, Allahyarham dapat menguasai bahasa Jepun dengan baik serta dikelilingi oleh orang-orang yang mementingkan kekuatan agama, bangsa dan tanah air. Ini adalah satu kelebihan yang diperolehi oleh Almarhum selain dibesarkan dalam keluarga yang banyak menggerakkan peranan jati diri dalam memperjuangkan hak Melayu.

Allahyarham Tan Sri adalah pejuang Islam sejak usia kecil dan apabila menginjak usia 16 tahun beliau telah menubuhkan Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Insaf (PERMI) bersama-sama Allahyarham Aminuddin Baki, Allahyarham menzahirkan rasa kecewa apabila penjajah Inggeris memandang rendah terhadap orang Melayu. Atas kejayaan pertubuhan ini, ianya berjaya mencelikkan pandangan mata orang Melayu untuk memartabatkan pakaian Melayu termasuk para pembesar. Selepas menamatkan pengajian di Universiti of Bristol, Allahyarham Tan Sri telah dilantik menjadi pengasas Malaysian Hall dan telah menguruskan prasarana penting seperti surau, perpustakaan serta memperbanyakkan jualan makanan halal. Keistimewaan Allahyarham juga dilihat apabila sering menjadi pemandu kepada para pembesar Melayu yang sering turun ke London demi memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Ketika tercetusnya peristiwa 13 Mei, Allahyarham Tan Sri Ainuddin telah dilantik sebagai Pengetua Maktab Teknik Kuala Lumpur. Kejayaan dibawah pentadbiran Allahyarham telah membawa pembaharuan Maktab ke Insititut Teknologi Kebangsaan (ITK) dan seterusnya bertukar status menjadi Universiti Teknologi Malaysia sehingga kini.

Atas kedegilan yang positif dan daya tahan yang luar biasa Allahyarham Tan Sri, tercetusnya kombinasi antara adat budaya Melayu dan juga Islam. Cabaran beliau dalam memperkenalkan nilai-nilai Islam dalam kalangan warga institusi telah mendapat tentangan serta cemuhan. Namun Allahyarham tidak gentar dan tegas dalam apa jua keputusannya. Itulah keperibadian beliau yang telah  digambarkan oleh Puan Sri Fatini di sesi program ini. Di akhir bicara, Puan Sri Fatini berkongsi rasa tentang keikhlasan berjuang oleh Allahyarham Tan Sri Ainuddin, demi agama yang termaktub dalam jiwa beliau. Beliau juga mencadangkan beberapa idea seperti sudut pameran mengenai sejarah pengasas UTM dan menerbitkan semula koleksi buku yang lebih ringkas supaya nilai-nilai perjuangan ini tidak terhenti dan dapat dihayati oleh semua warga Universiti. Perjuangan yang lahir dalam diri Allahyarham Tan Sri Ainudddin bukan sahaja untuk UTM malahan untuk kesejahteraan masyarakat luar demi agama dan bangsa.

 

 

Share this :