Program BookSharing@UTMKL 2022/Siri 12 telah disiarkan secara langsung di Facebook UTM Kuala Lumpur dan Youtube UTM Library TV pada hari Khamis 1 September 2022. Pengulas bagi siri ini adalah Puan Siti Roziah Hashim, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Pejabat Perkhidmatan Digital dan Puan Norzubaidah Husain, Setiausaha Pejabat, Fakulti Teknologi & Informatik Razak. Moderator program ialah Noraliya Syakirah Mohd Idris, Pelajar Latihan Industri, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.
Pengulas pertama iaitu Puan Norzubaidah Husain telah memilih buku bertajuk ‘Pengenalan Matawang Alam Melayu Zaman Tradisional’ yang ditulis oleh Dr. Ibrahim Bakar Langkawi. Pengulas menyatakan bahawa buku ini merupakan bahan rujukan kepada peminat-peminat baru dan pencinta Numismatik dan sejarah Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura dan Thailand. Mengikut definisi dari kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Numismatik bermaksud kajian atau koleksi tentang duit syiling, pingat dan sebagainya.
Menurut beliau lagi, buku ini menerangkan maksud asal duit iaitu sejenis koin tembaga Belanda bernama ‘Doit’ atau ‘Duyt’ yang diedarkan oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) mulai tahun 1726. Di samping itu, asal perkataan mata wang adalah ‘mata’ merujuk kepada jenis manakala ‘wang’ merujuk kepada sejenis koin perak Belanda yang bernilai 2 stuiver.
Secara amnya, mata wang dibahagikan kepada 2 jenis iaitu Ingot dan Koin. Ingot adalah jenis mata wang yang tidak mempunyai bentuk khusus dan beratnya juga tidak sekata. Manakala, mata wang jenis Koin terdiri dari emas, perak dan timah. Ianya berbentuk bulat seperti biji jagung dan bulat melengkung seperti piring.
Menurut penulis, di semenanjung Tanah Melayu, Pulau Sumatera, Pulau Jawa, Pulau Sulawesi, Pulau Kalimantan dan Sulu dan Tanah Besar Asia Tenggara mempunyai istilah mata wang tersendiri. Di setiap negeri di Semenanjung Tanah Melayu mempunyai pitis-pitis peribadi.
Penyampai menyimpulkan bahawa buku ini menerangkan lanjut tentang kronologi dan sifat-sifat mata wang Melayu zaman tradisional. Dengan itu, secara langsung buku ini diharap dapat memelihara khazanah sejarah Melayu seluruh Nusantara. Selain itu, buku ini juga dapat menambah pendokumentasian maklumat dalam bidang sejarah dan Numismatik.
Pengulas kedua iaitu Puan Norzubaidah Husain telah memilih buku Wanita Wajib Kaya yang ditulis oleh Fida Jaafar yang menerangkan perspektif kaya adalah berbeza untuk setiap individu. Kategori kaya itu adalah seperti barang kemas, kereta mewah, pakaian cantik dan mahal. Orang berpangkat juga akan dianggap kaya. Stigma masyarakat itu membuatkan ia sebati dalam jiwa dan memberi definisi negatif terhadap kaya.
Menurut penyampai, penulis turut menekankan bahawa, wanita wajib kaya manakala lelaki wajib lebih kaya kerana mereka adalah pemimpin sesebuah keluarga. Terlalu banyak asbab kenapa wanita wajib kaya dan sebagai lelaki pula anda wajib lebih kaya serta wajib menerapkan pemikiran kaya yang mulia dalam kalangan ahli keluarganya dan masyarakat. Terlalu banyak kes penganiayaan dan penindasan wanita yang berlaku masa kini maka wanita perlu menggunakan ilmu untuk mencari jalan keluar jika seseorang wanita itu diduga dengan keadaan yang sukar dalam kehidupannya.
Tambahnya lagi, pengurusan kewangan yang baik akan menghasilkan pengurusan kehidupan yang baik. Selain itu, kita haruslah mencari guru dalam pengurusan kewangan dengan betul. Sebelum mengakhiri perkongsian, belaiu menyimpulkan bahawa secara keseluruhannya, wanita wajib kaya kerana sebab yang sangat padu. Semua orang, tidak kira sesiapa pun memiliki dua modal yang sangat berharga iaitu akal dan masa yang perlu dieksploitasi untuk membina kekayaan dan kejayaan.