Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang ke-65, julung kalinya program Jejak Maklumat Merdeka (JMM) dianjurkan sinergi Perpustakaan UTM Johor Bahru, Johor Land Berhad, ASHEE Enterprise, Badan Kebajikan Staf (BAKES), Pusat Islam, UTM Campus Sustainability, Majlis Perwakilan Pelajar UTM, Jabatan Pendaftar UTM, Persatuan Wanita Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (WANGI). Justeru, inisiatif ini diambil bagi menyemai semangat patriotisme dan cinta akan Malaysia di samping memupuk perpaduan dalam kalangan warga UTM melalui aktiviti pencarian maklumat. Program ini terbuka kepada warga UTM telah berjaya dilaksanakan pada 14 September 2022 (Rabu) dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.  Sebanyak sepuluh (10) penyertaan telah diterima untuk menyertai program (Rujuk lampiran 1). Setiap penyertaan adalah mewakili kumpulan yang dianggotai oleh dua orang ahli kumpulan. Peserta dikehendaki menyelesaikan tugasan yang diberi di setiap lokasi terpilih sekitar UTM secara berbasikal.

Lokasi pendaftaran ialah di Dataran Helipad UTM bermula jam 8.00 pagi. Peserta diberikan taklimat ringkas mengenai program dan penggunaan basikal. Melalui jaringan kerjasama, Bahagian Keselamatan Universiti telah memberi khidmat untuk memantau aliran trafik dan petugas perubatan turut bersedia untuk memberi bantuan kecemasan. Tepat jam 8.30 pagi, sesi flag off telah disempurnakan oleh Pn Zaleha Binti Atan, Timbalan Ketua Pustakawan (Pembangunan dan Perancangan) sebagai simbolik perlancaran program.

 

Beberapa tugasan telah dikenalpasti dan dirangka disepanjang program ini dijalankan dan masa yang diperuntukkan bagi setiap tugasan adalah sebanyak 20 minit. Kumpulan yang tidak memenuhi kriteria ini akan ditolak sebanyak lima markah bagi setiap tugasan yang diberikan. Bilik 24 jam, Perpustakaan UTM adalah merupakan lokasi pertama di mana tahap pemahaman dan pengetahuan mengenai sejarah kemerdekaan para peserta diuji dengan menyelesaikan 10 soalan objektif bagi tugasan Malaysia Tanah Airku.

Seterusnya para peserta menuju ke lokasi kedua iaitu Linangan Jernih, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU). Tugasan Puncak Jaya Malaysia diberikan dimana para peserta perlu membina arca seni bina Twin Tower Petronas secara kreatif dengan menggunakan bahan-bahan yang disediakan seperti cawan kertas, gunting, gam, selotep dan straw. Kumpulan yang telah selesai menyiapkan tugasan akan ke lokasi tugasan ketiga di Jabatan Perpustakaan UTM untuk mencari dua (2) buku genre Sejarah dan membuat pinjaman di Kaunter Pinjaman buku, lantaran itu, mereka dikehendaki untuk memuat turun dan menyenaraikan nombor panggilan dua (2) tesis Bahasa Malaysia.

Tugasan keempat ialah Jejak Warisan Sejarah yang diadakan di Dewan Al-Ghazali, Masjid Sultan Ismail. Peserta perlu menyiapkan jigsaw puzzle gambar bangunan bersejarah di Malaysia dan mengenalpasti lokasi bersejarah tersebut dalam format pantun yang mempunyai elemen Islami. Lokasi terakhir ialah Foyer Bangunan Canseleri dengan Tugasan Aku Anak Malaysia iaitu melengkapkan lirik lagu kebangsaan dan rukun negara.

Sekitar jam 10.30 pagi kesemua peserta berjaya menyiapkan tugasan yang diberikan dan para juri juga selesai memberikan markah berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Majlis penutup dan penyampaian hadiah dimulakan dengan kata alu-aluan oleh pengerusi majlis dan kemuncaknya adalah penyampaian hadiah oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail kepada para pemenang.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah Program Jejak Maklumat Merdeka diakhiri dengan nyanyian lagu Negaraku dan kibaran jalur gemilang.

Penulis Bersama: Liza Binti Porijo

Share this :