Program bicara karya, 9 Jun 2022 edisi khas kali ini telah dibawakan secara langsung dari Reruai MAPIM tingkat tiga Dewan Tun Razak, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBA KL) 2022. Dua orang panel yang tidak asing lagi iaitu Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Mantan Naib Canselor UTM dan Prof. Dr. Kassim Thukiman, Profesor, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia dijemput untuk mengupas sebuah buku yang bertajuk Integriti Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia. Moderator program ialah Puan Khairulbahiyah Yaakub, Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan UTM.

Datuk Ir. Dr. Wahid Omar menjelaskan buku ini telah dihasilkan berasaskan satu kajian yang dibuat oleh satu kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Dr. Mohd. Koharuddin Mohd Balwi. Kajian ini merupakan sinergi diantara staf akademik UTM dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) INTAN Selatan yang bertempat di Kluang. Panel menyatakan kajian ini dipilih berdasarkan literature dan juga daripada perbincangan di media sosial mengenai isu integriti. Sebagai makluman semua, kumpulan penyelidik ini memfokuskan kepada perkhidmatan awam kerana pada pandangan mereka perkhidmatan awam merupakan tunggak bagi menjayakan dasar-dasar kerajaan.

Panel juga turut berkongsi takrif integriti iaitu integriti adalah kualiti ukur yang wujud secara keseluruhan dan padu kepada individu serta sebuah organisasi. Isu integriti berkait rapat dengan isu etika dan nilai murni dalam diri seseorang dan juga organisasi. Bagi pihak kerajaan, integriti membawa maksud sifat individu dan organisasi yang sempurna merangkumi sifat adil, amanah, benar, bertanggungjawab, tulus, cekap dan bijaksana. Panel juga turut menegaskan masyarakat juga memainkan peranan yang sangat penting kerana mereka juga boleh menjadi pengawal, pemerhati malahan boleh juga menjadi pendesak kepada pihak kerajaan kerana merekalah yang terus langsung berurusan dengan agensi-agensi kerajaan.

Selain itu, mana-mana penjawat awam dengan pelbagai jawatan yang tertentu perlu melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya kerana ini bukan sahaja untuk kepuasan diri tetapi juga mempunyai kaitan dengan kehidupan selepas mati. Penjawat awam mestilah ingat dan sedar bahawa, mereka terikat dengan perintah am yang perlu dipatuhi dengan Key Performance Indicator (KPI) yang telah ditetapkan. Sebagai rakyat pula, mereka terikat dengan perlembagaan persekutuan yang perlu dipatuhi.

Prof. Dr. Kassim menegaskan buku ini bukan sekadar hanya dibuat tetapi buku ini perlu dihayati dan diamalkan dalam kehidupan. Laksanakanlah tugas dengan baik kerana perkhidmatan awam adalah penegak sebuah negara maju. Penyelidikan buku ini melalui dua kaedah iaitu kaedah kualitatif dan kuantitatif dimana ada juga sesi berjumpa dengan para respondent secara langsung untuk bercakap tentang isu integriti. Impak kajian penyelidikan ini adalah perlunya tahap kesedaran integriti diperkukuhkan lagi dengan pengukuhan nilai-nilai integriti secara berterusan dikalangan penjawat awam. Berdasarkan dapatan kajian ini Prof. Kassim memberikan beberapa pandangan iaitu walaupun dapatan kajian ini secara keseluruhannya positif tetapi ia juga boleh ditafsirkan sebagai sesuatu yang amat membimbangkan dalam skim perkhidmatan awam. Selain itu, sewajarnya nilai-nilai integriti difahami, dihayati dan diamalkan oleh seluruh penjawat awam kerana penjawat awam sudah mempunyai skim perkhidmatan yang menarik dan diminati oleh ramai orang. Dapatan ini juga menunjukkan bahawa masih ada staf perkhidmatan awam yang terlibat dengan masalah integriti dan penyalahgunaan kuasa dan ini sesuatu yang sangat membimbangkan.

Implikasi kajian ini menunjukkan isu integriti perlu dijadikan agenda utama kerajaan dalam sistem perkhidmatan awam yang bukan sahaja sekadar memupuk nilai-nilai murni tetapi melibatkan juga kerangka yang lebih besar termasuk mendaulatkan perlembagaan negara, merealisasikan rukun negara, mematuhi undang-undang, menjunjung perintah am dan yang lebih penting kita turut terlibat dalam proses perlembagaan negara sebagai perkhidmatan awam. Sehubungan itu, buku ini membantu setiap penjawat awam mengukuhkan pengetahuan tentang integriti, etika kerja, dan isu etika yang membantu mereka membuat keputusan yang tepat dan  mampu membezakan antara yang salah dan benar, memiliki keinginan yang tinggi bagi mencari kebenaran, dan dalam masa yang sama berusaha memperkasakan integriti dalam perkhidmatan awam negara ini supaya setanding dengan negara maju yang lain.

Share this :