Pada 5 Oktober 2022 (Rabu) telah berlangsung satu Forum Bicara Inspirasi : Legasi Kejayaan UTM bersempena sambutan 50 Tahun UTM. Tokoh jemputan program kali ini adalah Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed, Profesor Emeritus, Fakulti Teknologi & Informatik Razak dan Tan Sri Datuk Dr. Ahmad Zaharudin Idrus, Felo Utama, Universiti Teknologi Malaysia. Manakala moderator forum ialah Prof. Madya Dr. Norhayati Abdullah, Timbalan Pengarah, UTM International Kuala Lumpur.

Forum dimulakan dengan pengenalan ringkas mengenai panel jemputan dan disusuli dengan pembentangan slaid yang disediakan oleh Dato’ Zainai mengenai dua fasa pembangunan UTM iaitu Fasa “Start Up” dan “Fasa Growth”. Beliau menganggap Tan Sri Ahmad Zaharudin sebagai mentor dan bersama- sama terlibat dalam perbentukan organisasi UTM dalam kedua-dua fasa ini. Di fasa “Start Up” beliau menetapkan hala tuju UTM secara khusus. Dato’ Zainai menegaskan kepimpinan dalam diri beliau dibangunkan oleh pasukan UTM. Oleh itu, beliau memanfaatkan UTM sebagai tempat bekerja dan belajar. Beliau turut aktif dalam bidang penulisan dan berjaya menerbitkan sebuah buku Manual Pengurusan Pengajian Siswazah yang merupakan hasil projek di bawah seliaan Naib Canselor UTM yang ketiga, iaitu Tan Si Ahmad Zaharudin sendiri. Buku ini mengandungi koleksi peraturan dan garis panduan berkaitan dengan Pengajian Siswazah UTM.

Dalam Fasa “Growth”, dari segi fasiliti, perancangan dan pembinaan kampus UTMJB telah berlaku. Fasa 1 pembangunan kampus UTM Johor Bahru pada tahun 1985 dan seterusnya Fasa 2 pada tahun 1989. Agenda “Growth” seterusnya adalah bertujuan menjadikan UTM sebagai sebuah universiti bertaraf dunia dan universiti penyelidikan (RU) dengan fasiliti yang sedia ada serta untuk ditambah baik. Oleh itu, wujudnya pendidikan berterusan sepanjang hayat bagi memasti UTM kekal relevan. Melalui agenda ini, School of Graduate Study (SPS), School of Professional and Continuing Education, (SPACE) dan International Business School, (IBS) telah berjaya dibangunkan.

Seterusnya forum diteruskan dengan moderator meminta pandangan Tan Sri Zaharudin mengenai transformasi pembangunan fizikal di UTM. Tan Sri memulakan ucapan dengan penceritaan di awal keterlibatannya dengan UTM. Belaiu telah berkhidmat dengan Petronas dan mempunyai banyak pengalaman dan kepakaran. Oleh itu, UTM telah memberi kepercayaan agar beliau membuat perubahan kepada gaya pengurusan UTM kepada gaya pengurusan korporat seperti diamalkan di Petronas. Tujuan utama adalah untuk menjadikan UTM bertaraf dunia seperti Petronas. Bagi Tan Sri Zaharudin, untuk menjadikan UTM bertaraf dunia, UTM perlu menjalinkan kerjasama dengan badan luar antarabangsa. Antara usaha yang dilakukan adalah menjalin kerjasama melalui Business and Advanced Technology Centre (BATC) dengan Warwick University, United Kingdom (UK).

Forum diteruskan dengan soalan kepada Dato’ Zainai mengenai pegangannya semasa berada dalam pengurusan tertinggi UTM. Beliau menyatakan organisasi harus menetapkan halatuju yang konkrit supaya kekuatan pasukan pengurusan dapat dikerahkan dalam menggerakkan organisasi. Selain itu, beliau turut berkongsi cabaran yang dihadapi pada ketika itu di mana penamatan pengajian diploma atas arahan Kementerian Pengajian Tinggi. Beliau membantah dengan membentang cadangan meneruskan pengajian diploma melalui model dan struktur pengajian diploma baharu yang lebih relevan untuk mengekalkan diploma di UTM. Akhirnya beliau telah berjaya dan UTM antara universiti yang masih menawarkan pengajian di peringkat diploma.

Moderator bertanyakan pandangan Tan Sri Ahmad Zaharudin mengenai kerja berpasukan dalam sebuah organisasi. Tan Sri memberi gambaran semakin besar dan kuat sebuah pasukan, beban pengurusan menjadi lebih ringan. Visi dan matlamat perlu jelas dan difahami oleh semua staf bagi memastikan kejayaan lebih mudah dicapai. Dato’ Zainai turut bersetuju dan menyatakan kejayaan UTM pada hari bukan usaha bersendirian sebaliknya adalah usaha seluruh warga UTM. Oleh itu, beliau mengambil kesempatan menyatakan penghargaan kepada seluruh warga UTM yang terlibat membawa UTM ke satu tahap yang membanggakan pada hari ini. Usaha dan kerja keras semua amat beliau hargai.

Di hujung forum moderator meminta para panel untuk berkongsi kunci kejayaan mereka semasa bertugas di UTM. Bagi Tan Sri Zaharudin, kunci kejayaan seseorang adalah dengan ilmu pengetahuan, sikap percaya diri serta sumber inspirasi yang menjadi ikutan atau role model. Sebagai tambahan Dato’ Zainai pula menegaskan sesorang individu itu perlu terus belajar dan membaca. Trend pengurusan, teknologi serta ilmu-ilmu lain terus bekembang maju seiring dengan peredaran zaman dan waktu. Kita tidak mampu untuk menguasai semua ilmu dan disebabkan itulah seseorang individu atau organisasi itu perlu terus belajar untuk berjaya. Forum diakhiri dengan sesi soal jawab serta penggulungan forum oleh moderator program, PM. Dr. Norhayati. Majlis diserahkan kembali kepada pengerusi majlis untuk sesi penyampaian cenderahati kepada kedua-dua tokoh jemputan oleh Pro Naib Canselor UTMKL, Prof. Ts. Dr. Abd Latif bin Saleh diiringi Ketua Bahagian Perpustakaan UTMKL, Puan Nik Masriza binti Zakaria. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar serta jamuan ringan.

 

Share this :