Program BookSharing@UTMKL 2022/Siri 13 telah diadakan pada Rabu, 19 Oktober 2022. Istimewanya siri kali ini, dua panel pengulas yang dijemput adalah dari bidang akademik iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Maslin Masrom, dari Fakulti Teknologi & Informatik Razak (FTIR) dan Prof. Madya Dr. Siti Hamidah Mohd Setapar, dari Malaysia-Japan International Institute (MJIIT).

Moderator, Puan Nurrull Huda Binti Abdul Wahid (Pustakawan Kanan) telah menjemput Prof. Madya Ts. Dr. Maslin Masrom untuk memulakan perkongsian. Beliau memilih buku bertajuk Enjoy Your Life. Menurut beliau, buku ini dikarang oleh Dr. Muhammad Abdur-Rahman al-Areefi yang merupakan seorang tokoh yang terkenal dan terkemuka dalam dakwah Islamik. Beliau juga merupakan keturunan sahabat Rasullullah S.A.W, Khalid Bin Walid iaitu panglima tentera Islam yang hebat. Buku ini adalah untuk melatih para pembaca menikmati kehidupan dengan mempraktikkan ‘skill’ atau kemahiran pembangunan diri dan juga hubungan di antara sesama manusia di mana setiap kemahiran yang dijelaskan dalam buku ini, penulis menjadikan Rasulullah S.A.W dan para sahabat sebagai contoh serta panduan.

Prof. Madya Ts. Dr. Maslin Masrom mengulas buku bertajuk Enjoy Your Life

Melalui buku ini, para pembaca dapat mempelajari kaedah untuk memastikan keceriaan hidup sentiasa berkekalan dan seterusnya menjamin ketenangan di samping kita menikmati tugasan seharian seperti lazimnya. Menurut penulis, setiap individu tidak kira peringkat umur memiliki kemahiran yang dikurniakan Allah S.W.T. Namun begitu, kita sendiri perlu mencari kemahiran tersebut dan melatih diri agar kita milikinya apabila kita kurang.

Daripada buku ini, terdapat 88 kemahiran yang dikongsi oleh penulis di dalam buku ini yang pastinya dapat menambahbaik kehidupan seseorang dan boleh diamalkan antaranya meningkatkan kemampuan diri, bersikap menyerlah ketika berkomunikasi dengan setiap orang dan berkemahiran apabila menghadapi sesuatu masalah. Pelbagai nasihat dari pengalaman hidup yang dikongsi penulis dan diterjemahkan melalui buku ini dan dapat  dimanfaatkan  kepada semua peringkat umur. Kesimpulannya buku “Enjoy Your Life” ini dikarang dengan baik dan amat mudah untuk dibaca serta difahami. Di akhir bab buku ini, penulis turut mendoakan pembaca agar dapat mempraktikkan kemahiran ini dan peroleh nikmat kehidupan di dunia dan akhirat.

Prof. Madya Dr. Siti Hamidah Mohd Setapar mengulas buku bertajuk The Alchemist

Program diteruskan lagi dengan menjemput penyampai seterusnya iaitu Prof. Madya Dr. Siti Hamidah Mohd Setapar yang memilih buku The Alchemist hasil penulisan Paulo Coelho. Menurut beliau, buku ini merupakan buku ke-3 paling banyak dijual di dunia ini dan menjadi inspirasi kepada semua pembaca. Buku ini menceritakan tentang seorang budak lelaki dari kampung di Sepanyol yang digelar ‘The Boy’ yang mempunyai impian yang berbeza berbanding yang lain. Lazimnya penduduk di kampung melakukan kerja- kerja kampung tetapi ‘The Boy ‘ ingin menjadi pengembala kambing dan ingin menjelajah ke seluruh dunia. Seperti pepatah ‘jauh perjalanan, luas pandangan’ di mana ia berkait dengan buku ini, kerana ‘The Boy’ membawa kambing-kambingnya yang banyak berjalan jauh dan mempunyai  impian untuk berjumpa alkemis adalah ingin belajar cara menukar  logam biasa menjadi emas dan impiannya juga adalah untuk mempunyai harta iaitu dengan mencari harta karun. Dalam perjalanan mengapai impiannya, hidup ‘The Boy’ ini terbiar dan banyak mempelajari berkaitan sikap haiwan dan manusia.

Pelbagai halangan dari keluarga juga penduduk kampung untuk mendesak ‘The Boy’ tinggal di kampung, namun ini tidak menghalangnya dari mencapai impiannya dan seterusnya ‘The Boy’ berhijrah ke Morocco. Setelah mendapat tahu bahawa alkemis dan harta karun berada di  Gunung Sahara dan di Piramid Mesir, ia meneruskan perjuangan dalam menggapai impiannya.

Menurut beliau lagi, jelaslah buku ini berbentuk motivasi yang disampaikan dalam bentuk novel menunjukkan impian itu perlu dicapai dengan fokus sehingga berjaya walaupun masa itu membatasi impian. Kejayaan itu bukanlah diperoleh sekelip mata tetapi mungkin memakan masa yang lama dan bertahun-tahun ditambah pula dengan pelbagai rintangan dan dugaannya. Buku ini juga mendidik pembaca untuk yakin kepada diri sendiri selain yakin bahawa diri sendiri adalah tonggak dalam mencapai kejayaan tanpa membiarkan halangan lain menghantui kejayaan itu. Ketika kejayaan diperolehi, kita akan balik dengan keadaan yang lebih baik di samping orang tersayang. Penulis turut menekankan bahawa dalam peroleh kejayaan, kita akan jatuh berulang kali tetapi bangkitlah semula setiap kali jatuh dan hadapinya dengan sikap yang positif.  Teruskan bersabar dan berjalan, nescaya kejayaan milik kita. Mulakan cabaran itu sebagai sesuatu permulaan kepada kejayaan.

 

Share this :