Sesi Read & Relax Siri 20/2022 pada kali ini telah dijalankan secara dalam talian pada 3 November 2022 melalui laman Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM. Seramai dua orang panel pengulas telah dijemput untuk mengulas secara santai bahan bacaan yang telah dipilih masing-masing.

Pengulas pertama adalah Dr. Julie Nguyen Thuy Van Penyelidik, Office of Journal Sciences, Phu Yen University.  Panel pengulas kedua pula adalah Putri Nurdiyanah Md Rizal, pelajar PhD, Fakulti Sains, UTM. Manakala moderator bagi sesi kali ini adalah Maizatul Nadwa Che Aziz, pelajar PhD dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM dan turut merupakan ahli UTM Toastmasters Club.

Dr. Julie Nguyen Thuy Van telah memilih sebuah bahan bacaan berjudul A Wonderful Lady hasil karya Guy Des Cars. Secara ringkasnya, buku ini terdapat dua bahagian di mana bahagian pertama menceritakan tentang 7 orang wanita yang mempunyai latar belakang peribadi berbeza dan masih tidak merasa gembira dengan kehidupan yang mereka lalui. Pada bahagian kedua pula, penulis banyak menulis tentang keperibadian wanita yang hidup di dalam era moden dengan karakter yang pelbagai dalam mengharungi cabaran kehidupan. Bahagian kedua adalah bahagian yang sangat menarik di mana kita dapat lebih memahami tentang kehidupan yang tidak boleh diangap mudah dan kadang kala merumitkan. Namun begitu, apabila kita yakin dan optimis dengan perjalanan hidup kita, kita akan mampu untuk beroleh rasa bahagia meskipun dalam kesukaran. Penulis juga mengingatkan, selain kecantikan yang dimiliki, setiap individu juga perlu ada rasa cinta kepada manusia sekeliling, sentiasa mengambil berat tentang ahli keluarga, menjadi kawan yang baik kepada orang di sekeliling. Wanita perlu bangkit untuk mencari kebahagiaan, bukan sahaja untuk keluarga tetapi juga kepada masyarakat seluruhnya. Watak-watak yang terdapat di dalam buku ini turut menyampaikan mesej yang jelas terutama dari sudut moral. Komunikasi antara lelaki dan wanita juga antara aspek penting dalam kehidupan untuk memahami keperluan dan kehendak wanita di dalam dunia yang dahulunya didominasi oleh kaum lelaki.

Putri Nurdiyanah Md Rizal telah memilih bahan bacaan berjudul A World Without Islam. Buku ini merupakan hasil penulisan Graham E. Fuller, seorang penulis kelahiran Amerika Syarikat yang juga merupkan penganalisis politik, khusus di bawah subjek ekstremisme. Terdapat tiga bahagian utama di dalam buku ini, iaitu yang pertama Historical overview of the Islamic world sejak dari  dari awal hingga ke-abad 7 hingga 20. Ia juga dimuatkan dengan penerangan tentang pembangunan dan pengaruh Islam di dunia pada hari ini. Bahagian kedua merupakan bahagian yang memperincikan tentang peranan politik di dalam Islam, termasuklah dari sudut ekonomi Islam, sosial dan juga undang-undang. Penulisan buku ini merangkumi maklumat tentang negara-negara Islam, dan juga melibatkan negara-negara yang memiliki jumlah penduduk Islam yang signifikan. Bahagian terakhir iaitu yang ketiga mengetengahkan perkara yang melibatkan budaya dan tamadun Islam termasuklah seni, sastera, senibina.  Tajuk buku ini dilihat provokatif, namun hakikatnya menampilkan sesuatu yang segar untuk perspektif pembacaan yang berbeza. Seandainya Islam itu tidak pernah wujud, adakah segala-galanya akan baik sahaja tanpa sebarang konflik ? Hal inilah yang cuba dihuraikan oleh penulis buku ini dan ia membuatkan kita tertarik dengan satu hakikat, bahawa Islam itu amat memberi impak kepada peradaban dunia.

Share this :