Program BookSharing@UTMKL 2022 Siri 14 telah diadakan pada 10 November 2022 (Khamis). Perkongsian pada kali ini melibatkan seorang pengulas iaitu En. Mohd ‘Afiq Murad, Penolong Pegawai Latihan Vokasional, Malaysia – Japan International Institute Of Technology (MJIIT) yang telah memilih bahan bacaan yang bertajuk Air Putih Terapi Kesihatan Yang Mujarab yang ditulis oleh Adi D. Tilong.
Adi D. Tilong membawa kita melalui pembacaan untuk berfikir tentang kurniaan Allah S.W.T. yang maha hebat iaitu air di mana ianya merupakan keperluan asas penting kepada semua hidupan di dunia ini. Di dalam buku ini, dijelaskan mengenai sifat-sifat air kepada manusia, khasiat air putih bagi mengurangkan risiko dan masalah kesihatan, rahsia kajian dan penelitian air putih.
Menurut pengulas, buku ini sangat menarik dan informatif kerana mengandungi huraian yang mendalam tentang sifat-sifat air. Air merupakan sejenis zat atau sumber utama mineral untuk kehidupan manusia, selain haiwan dan tumbuhan. Air sangat diperlukan oleh tubuh sebagai nutrisi yang diperlukan untuk kesihatan dan keutuhan sel dalam badan. Selain itu, air juga berperanan melarutkan dan membekalkan nutrisi, oksigen dan hormon ke seluruh tubuh manusia, melarutkan dan mengeluarkan toksik dari dalam tubuh. Air juga bertindak sebagai pemangkin tubuh yang sihat, menstabilkan suhu badan dan mematahkan pertembungan bagi organ vital di dalam tubuh.
Tambahnya lagi, penulis turut menyatakan bahawa organ-organ tubuh yang paling tinggi kandungan airnya ialah darah dan otak yang mengandungi hingga 90% dan 95% cairan. Begitu besarnya peranan air dalam tubuh manusia hingga kadangkala air dimasukkan sebagai zat gizi keenam setelah karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral.
Penulis juga menyatakan setiap orang perlu minum air putih sebanyak 8 gelas atau setara dengan 2 liter setiap hari. Di samping itu, wanita hamil disarankan untuk mengambil air putih sebanyak 2.5 liter per hari dan wanita menyusu badan sebanyak 3 liter sehari. Terdapat beberapa fakta yang perlu diketahui tentang kebaikan meminum banyak air putih antaranya mencegah hidrasi, membantu pencernaan, menurunkan berat badan, memberikan oksigen ke seluruh badan dan mencegah masalah ginjal. Manakala, pakar kesihatan sependapat bahawa terapi air dengan meminum air sangat baik untuk kesihatan dan untuk mencegah tubuh dari kekurangan air. Selain itu, dengan meminum air secara rutin dan konsisten dikatakan akan memberikan penampilan awet muda.
Sebelum mengakhiri perkongsian, pengulas menyatakan harapan penulis agar buku ini dapat memberi panduan kepada pembaca agar dapat lebih memahami keistimewaan dan khasiat air dan boleh membantu dalam mengurangkan risiko daripada menghidap penyakit-penyakit berbahaya.