Program Read & Relax Siri 19/2022 pada kali ini telah diadakan di Akademi Tamadun Islam bersempena dengan UTM Library Research Week 2022 yang disiarkan secara langsung di Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM. Panel pengulas pertama iaitu Dr. Mohammad Naqib Hamdan, Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam dengan bukunya yang berjudul Daging Kultur: Sejarah, Konsep & Hukum Islam. Manakala panel kedua adalah Dr. Tan Joo Siang, Pensyarah Kanan, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan dengan bukunya berjudul Modul Keluarga Sejahtera Negeri Johor. Moderator bagi program kali ini adalah PM. Dr. Mohd Fauzi Abu@Hussin, Timbalan Dekan Akademi Tamadun Islam UTM.
Buku berjudul Daging Kultur: Sejarah, Konsep & Hukum Islam yang telah dipilih oleh Dr. Mohammad Naqib Hamdan adalah sangat istimewa kerana buku tersebut adalah hasil tulisan beliau sendiri dan penulis bersama Mohd Anuar Bin Ramli.
Buku ini memperincikan tentang penyelidikan terkini dalam bidang pemakanan dunia di mana penghasilan daging kultur yang bakal menampung keperluan permintaan daging di seluruh dunia. Daging kultur yang terhasil daripada ekstrak sel dari tumbuh-tumbuhan adalah merupakan daging yang berasal dari tumbuh-tumbuhan atau ‘plant-based’ di mana teksturnya sama seperti daging yang asli, Cuma sumbernya adalah dari tumbuh-tumbuhan.
Meskipun penyelidikan tentang daging kultur ini semakin meluas, namun ia juga tidak terlepas daripada kritikan dan pertikaian sama ada dari segi etika, penerimaan berasaskan budaya dan agama dan juga dari segi istilah perundangan itu sendiri. Hal ini kerana meskipun ia secara lahiriahnya adalah daging, namun sejauh mana ia boleh dikategorikan sebagai ‘daging’ memandangkan ia adalah berasal dari tumbuh-tumbuhan. Dari segi amalan keagamaan pula, Islam secara jelas memperuntukkan ibadah sembelihan untuk pemerolehan daging. Dengan terciptanya daging kultur tanpa ‘sembelihan’ ini, belum dapat dimuktamadkan oleh para ilmuwan Islam sama ada ia boleh diterima sebagai daging yang boleh dimakan di sisi agama ataupun tertakluk di bawah istilah makanan yang lain dan tidak sah pula untuk satu-satu ibadah spesifik seperti korban dan aqiqah.
Hal ini ditambah lagi dengan pertikaian daripada kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan hak haiwan dan tumbuhan dimana mereka tidak dapat menerima penghasilan daging kultur ini kerana ia masih lagi dilihat sebagai salah satu bentuk ‘human domination’ atau dominasi manusia ke atas sesuatu yang bertentangan dengan prinsip perjuangan mereka.
Justeru, perkembangan dan penerimaan masyarakat tentang daging kultur ini dilihat masih jauh dan penuh liku sebelum dapat diterima sepenuhnya oleh masyarakat dunia.
Panel yang kedua iaitu Dr. Tan Joo Siang pula telah memilih sebuah buku bercorak modul iaitu Modul Keluarga Sejahtera Negeri Johor.
Modul ini adalah lanjutan daripada Modul Keluarga Sakinah yang dilancarkan pada tahun 1998 dan juga hasil daripada resolusi Seminar Kebangsaan Keluarga Sejahtera Negeri Johor yang diadakan pada tahun 2019. Menurut Dr. Tan Joo Siang, modul ini terbahagi kepada 4 tema utama iaitu “Gerbang Cinta” yang mewakili fasa pra-perkahwinan, “Serasi Bersama” yang mewakili Fasa Awal Perkahwinan, “Sehati Sejiwa” yang mewakili Fasa pra kematangan perkahwinan dan “Semarak Kasih’ yang mewakili fasa kematangan perkahwinan.
Dr, Tan Joo Siang juga menceritakan tentang bagaimana pasangan-pasangan yang berkahwin kerap memilih untuk mengelak daripada terlibat dalam konflik sesama pasangan. Hal tersebut adalah salah dan tidak sepatutnya berlaku kerana konflik bukan untuk dielak, tetapi untuk dihadapi bersama. Tanpa berhadapan dengan konflik, kita tak akan dapat mengenali pasangan kita dengan lebih mendalam dan kita akan kurang menghargai pasangan. Oleh itu, kunci utama panjangnya usia perkahwinan itu adalah kesediaan pasangan untuk berhadapan dengan konflik yang melanda rumahtangga, kerana hal itu adalah biasa dalam hidup berumahtangga.
Selain itu, modul turut dijadikan sebagai modul atas talian di mana ia boleh diakses di laman web MOOC dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia.