Bersempena usaha Perpustakaan UTM menyantuni masyarakat orang asli,  Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama guru-guru di sekolah sekitar kawasan Jerantut, Pahang telah mengadakan sesi Read & Relax Siri 17 pada 29 September 2022 disiarkan secara dalam talian melalui Facebook Perpustakaan UTM serta Youtube UTM Library TV. Istimewanya kali ini adalah panel-panel dan moderator program merupakan masyarakat dari kalangan orang asli itu sendiri. Panel pengulas pertama Cikgu Hasnalina Johari, Sekolah Kebangsaan Kuala Tahan merupakan masyarakat orang asli Semelai. Panel pengulas seterusnya adalah Cikgu Liza A/P Abu, Sekolah Kebangsaan Kuala Sat merupakan masyarakat orang asli Semoq Beri. Manakala moderator pada sesi kali ini adalah Cikgu Juliemazreen, Sekolah Kebangsaan Merting merupakan masyarakat orang asli Semelai.

Cikgu Hasnalina Johari mengulas buku bertajuk Berapa Harga Segulung Ijazah.

Panel pertama iaitu Puan Hasnalina Johari telah memilih buku bertajuk Berapa Harga Segulung Ijazah yang ditulis oleh Kamariah Kamaruddin. Menurut panel buku ini dihadiahkan kepada beliau semasa majlis penyampaian hadiah pertengahan tahun sewaktu beliau berada di tingkatan lima pada tahun 2012. Antara tajuk yang membuat panel tertarik dalam buku ini adalah stres, stres dan stres. Kandungan buku ini banyak memberikan panduan dan mengajar cara untuk seseorang itu menguruskan stres dengan betul. Selain itu, panel menyatakan tekanan yang dihadapi oleh seseorang perlu diluahkan kepada orang yang boleh dipercayai supaya dapat diselesaikan tanpa mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri.

Panel juga berkongsi ilmu dengan orang sekeliling seperti memberi motivasi atau kata-kata semangat terutama kepada pelajar beliau sendiri dalam menghadapi tekanan. Menurutnya lagi, buku ini juga menggunakan laras bahasa yang sangat tinggi dan memerlukan seseorang untuk mengkaji maksud dalam susunan ayat yang digunakan. Setiap bab dalam buku ini ada penceritaan yang ringkas dan kata-kata hikmah yang boleh dijadikan sebagai pedoman. Panel juga telah mencadangkan untuk sentiasa membaca terutamanya dalam bidang psikologi atau motivasi sebagai persediaan menghadapi masa hadapan yang lebih mencabar.

Panel menegaskan mahasiswa atau bakal mahasiswa wajar memiliki buku ini sebagai persediaan mental dan emosi dalam menghadapi ujian yang bakal ditempuhi tatkala melangkah ke alam universiti. Tips yang diberikan oleh penulis tentunya dapat memberikan inspirasi ataupun panduan semasa dalam proses menggenggam segulung ijazah yang diidamkan. Akhir sekali, universiti bukan jalan pintas untuk menempah kejayaan bahkan ia juga bukan sebuah gedung ilmu yang boleh dibeli dengan wang ringgit untuk meraih segulung ijazah.

Cikgu Liza A/P Abu mengulas buku bertajuk Hantu Bukit Puaka

Program diteruskan dengan panel kedua cikgu Liza A/P Abu yang mengulas buku bertajuk Hantu Bukit Puaka karya Saloma Mat Lajis dan Maisarah Hj. Mansor. Panel mennyatakan beliau tertarik dengan buku ini kerana panel amat menyukai cerita-cerita seram dan juga mistik. Antara bab kegemaran panel dalam cerita ini adalah bab bertajuk surat yang mencemaskan. Panel menggambarkan watak utama dalam cerita tersebut yang bernama Salma, adalah seorang yang sangat berani, walaupun watak tersebut telah mendapat surat ugutan supaya menghentikan pencarian bukti jenayah yang berlaku secara mistik dalam cerita tersebut. Keterujaan itu membuatkan panel sedar supaya sentiasa bersemangat dalam apa jua keadaan atau perkara yang dilakukan.

Panel menyatakan kita hendaklah sentiasa berusaha dan jangan mudah berputus asa. Selain itu, watak Salma dalam cerita ini menyedarkan panel supaya terus berusaha mengajar anak didiknya dengan penuh semangat untuk terus berjaya dan cuba menjadi pendidik yang terbaik agar mereka mendapat ilmu pengetahuan yang sebaiknya daripada seorang guru. Kita juga mestilah sentiasa bekerjasama dan saling tolong menolong antara satu sama lain. Buku ini sangat memberi kesan yang positif kepada panel sendiri dengan bersemangat dan usaha yang berpanjangan serta tidak akan berputus asa untuk mengajar anak orang asli memandangkan beliau dari sekolah pedalaman.

Panel mengatakan permulaan cerita telah disusun dengan baik dan penulis berjaya menimbulkan tanda tanya kepada pembaca untuk mengetahui kisah yang akan terjadi seterusnya. Cerita menjadi lebih menarik apabila penulis menambah sedikit konflik dan klimaks penceritaan apabila pasukan penyiasatan diberi bayangan untuk menyelesaikan misteri dalam cerita tersebut. Akhir sekali, panel mengatakan semua pihak terutamanya ibu bapa perlulah menjalankan tanggungjawab memupuk budaya membaca agar generasi masa hadapan lebih efektif dan berkeupayaan. Sesungguhnya, generasi muda yang berilmu pengetahuan tinggi ini merupakan aset penting untuk pembangunan negara yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Share this :