Pembukaan tahun 2023 telah dimulakan dengan Program Bicara Karya : Catatan Zunita Di Jepun yang dianjurkan oleh Perpustakaan UTM Kuala Lumpur yang bersiaran secara langsung dari Youtube UTM Library TV dan Facebook UTM Library Kuala Lumpur.  Program ini berjaya mendapat sambutan hangat dari penonton di UTM juga penonton dari luar UTM dan mendapat tontonan lebih 1K views.

Puan Zunita berasal dari Negeri Sembilan dan kini bermastautin di Niigata, Jepun sejak tahun 2016 dan mencapai pelbagai kejayaan di sana melalui perniagaan kosmetik dan pengurusan bakat. Beliau juga merupakan usahawan yang berjaya melalui penghasilan produk ‘Tokyo Organic’ sekaligus memegang jawatan sebagai pengarah urusan di Zanita Global Plt.

Penghujung 2022, Asian Japan Centre telah menobatkan Puan Zunita sebagai Fantastic Women bersama 10 wanita Asia Tenggara yang lain yang menetap di Jepun. Beliau sangat aktif di media sosial dan berkongsi cerita mengenai negara Jepun. Oleh sebab itu, program kali ini akan membicarakan karya sulung beliau iaitu Catatan Zunita Di Jepun. Puan Zunita turut menceritakan bahawa kini beliau meneruskan kariernya di Jepun dan  sedang menyambung pengajiannya di dalam bidang MBA. Mengakui bahawa Jepun mempunyai sisi gelapnya tersendiri seperti negara lain, namun itu tidak menjadi penghalang untuk dirinya terus berkongsi tentang perkara yang menarik di negara matahari terbit itu, dan kerana itulah beliau sering menulis berkaitan Jepun untuk dikongsikan kepada kita semua.

Tambahnya lagi, apa yang dimilikinya sekarang semuanya bermula daripada minat. Minat yang mendalam dalam bidang kosmetik dan keunikan negara Jepun  digunakan sebaik-baiknya dalam membina sebuah kolaborasi yang tampak luar biasa namun berhasil – membina empayar perniagaan di negara asing. Minat beliau terhadap Jepun juga terzahir melalui kemampuannya untuk menulis sehingga 5 artikel sehari di media sosial berkaitan negara itu. Hasilnya, terdapat penerbit buku yang membuat tawaran untuk menerbitkan tulisan beliau dan di situlah bermulanya penulisan secara serius. Buku yang ditulis adalah dalam bahasa Melayu. Meskipun terdapat permintaan untuk karyanya diterbitkan dalam bahasa Jepun, namun beliau lebih memilih untuk menfokuskan dahulu penerbitan untuk pasaran Malaysia.

Perpustakaan UTM mengucapkan tahniah di atas kejayaan yang telah diraih oleh Puan Zunita di dalam kerjayanya dan juga sambutan pembaca yang sangat menggalakkan untuk karya sulungnya ini. Semoga perkongsiannya ini memberi inspirasi kepada kita semua dan ia turut menjadi bukti bahawa anak Malaysia boleh berjaya di mana-mana sahaja.

Share this :