Sesi Read & Relaks Siri 24/2022 anjuran Jabatan Perpustakaan UTM  telah diadakan pada 29 Disember 2022 Khamis di ruang Lestari Perpustakaan Sultanah Zanariah dan turut disiarkan secara langsung melalui Facebook Perpustakaan UTM serta youtube UTM Library. Panel jemputan untuk sesi kali ini terdiri daripada Cik Nur Amirah Atiqah Binti Mohamad Zulkapli dan Cik Nurul Nabila Binti Sam Dani.  Pelajar Latihan Industri UITM Cawangan N9 Kampus Rembau  serta moderator adalah Puan Nas Rashidah Binti Mohd Mustaza, Pembantu Pustakawan, Jabatan Perpustakaan UTM.

Cik Nurul Amirah telah memilih bahan bacaan berbahasa Inggeris yang bertajuk ‘Astray’.

Astray yang merupakan hasil karya Emma Donoghue adalah sebuah buku fiksyen yang  memaparkan 14 kisah fiksyen berkaitan individu pelbagai latar belakang yang didasarkan dari kisah benar, dan kesemua kisah mereka ini telah melangkaui batas-batas tertentu seperti bangsa, jantina, undang-undang dan juga kewarasan manusiawi. Kesemua kisah ini adalah bercorak pengembaraan sama ada dari atau ke Amerika Utara.

Panel pengulas yang kedua iaitu Cik Nurul Nabila telah memilih bahan bacaan yang bertajuk Penat.

Penat, sebuah judul yang ringkas namun impaknya sangat besar kepada kualiti kehidupan seseorang. Penulisnya Dr. Azizi Alias memperincikan tentang bagaimana cabaran orang dewasa masakini dalam menjalani kehidupan dan sasaran-sasaran hidup yang hendak dicapai. Dalam tempoh itu, akan sampai satu tahap di mana diri kita berasa amat penat, lahir dan batin sehinggakan kita merasakan bahawa “diri kita ini kosong sahaja”. Bahkan apa yang kita lakukan dalam kehidupan hanya sekadar memenuhi jadual hidup yang telah biasa diatur, bukan lagi kerana kita mahu benar-benar melakukannya. Kesannya, kita akan mula mencari kaedah untuk keluar daripada kebosanan itu dengan mencari hiburan mudah seperti media sosial dan sebagainya. Namun, adalah lebih malang apabila hiburan yang sekajap itu tidak mampu memulihkan semangat hidup. Buku ini turut menerangkan tentang istilah ‘languishing’ di mana ia tidak boleh hilang dengan sekadar mengalihkan fokus kita kepada perkara lain, sebaliknya ia perlu diurus dengan baik. Menurut Dr. Azizi Alias juga, untuk memulakan pengurusan emosi kita, kita sendiri perlu tahu apakah istilah emosi yang sedang kita hadapi. Dengan mengetahui perkara tersebut, kita boleh mula mengatur langkah seterusnya untuk keluar dari belenggu kelesuan emosi yang tidak berkesudahan.

 

Share this :