Susulan dari mesyuarat mengenai perancangan pewujudan Galeri Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) UTM yang diadakan pada 3 Januari 2023 di antara pihak FKA dan pihak Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM), seramai 13 orang staf akademik dan staf Kumpulan Pengurusan Profesional dan Pelaksana (PPP) FKA telah mengadakan lawatan rasmi ke Jabatan Perpustakaan UTM.

Lawatan yang diadakan pada 17 Januari 2023 yang bertempat di Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah dan Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM Johor Bahru ini merupakan perkongsian informasi berkaitan perancangan, pengoperasian dan pengurusan galeri di JPUTM selain memberi peluang kepada pelawat untuk melihat galeri tersebut secara lebih dekat.

Sesi lawatan dan taklimat ringkas telah disampaikan oleh Ketua Seksyen Galeri dan pustakawan serta dibantu oleh staf dari seksyen yang sama.

Menurut wakil dari pihak FKA, Ts. Dr. Mohd Khairul Afzan, pihak fakulti sedang merangka pelan pelaksanaan jangka pendek dan jangka panjang yang dikenalpasti untuk merealisasikan pembangunan Galeri FKA, lokasi strategik bagi pelaksanaan pameran berkaitan pencapaian dan sumbangan staf dan alumni FKA serta penerbitan buku ‘coffee table’ tentang sejarah penubuhan dan pembangunan FKA di UTM.

Lawatan ini diharap memberi manfaat bagi inisiatif dan usaha yang berimpak yang dirancang oleh pihak FKA serta mewujudkan kolaborasi yang baik di antara kedua-dua Pusat Tanggungjawab (PTJ) ke arah memastikan khazanah warisan universiti yang mempunyai nilai tradisi dan kearifan universiti terpelihara.

Share this :