Program Bicara Karya yang diadakan pada 20 Februari 2023 (Isnin) telah mengangkat sebuah naskhah dengan judul menarik iaitu Pedagogi Kaum Tertindas karya Paulo Freire. Program ini menampilkan tiga orang ahli panel iaitu Puan Saadah Baharudin yang merupakan Pengasas Kebun Permakultur, Encik Kularetnam Vijayakumar, Pengurus Program, Yayasan Tunku Abdul Rahman dan Puan Wan Nor Hanifah Hidayah Wan Kamaruddin, Guru Bahasa Arab, SBP Integrasi Gopeng. Manakala moderator bagi program ini ialah Dr. Doria Abdullah yang merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, UTM dan Encik Pravin Balakrishnan, Guru, Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu.

Pedagogi Kaum Tertindas merupakan karya terjemahan daripada sebuah karya berjudul ‘Pedagogy of the Oppressed’ yan g diterbitkan pada tahun 1968. Karya popular oleh Paulo Freire ini menjadi rujukan utama dalam bidang pendidikan, bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.

Buku ini berjaya menjentik minda dengan membawa isu serius yang melanda arena pendidikan di seluruh dunia. Ia menerangkan sebuah metodologi penting dalam usaha membebaskan masyarakat daripada terus ditawan oleh sistem pendidikan yang membinasakan. Teks ini membuka mata terhadap realiti ‘penindasan’ oleh kelompok yang menindas dan tertindas dalam kalangan masyarakat. Walaupun perkara ini dilihat sebagai sebuah kenyataan yang berlebih-lebihan, namun hakikatnya Paulo Freire berjaya membuktikan bahawa inilah yang berlaku dalam arena pendidikan. Tujuan beliau menulis buku ini adalah untuk mengajak seluruh masyarakat dunia bersama-sama berusaha membebaskan dunia pendidikan kita daripada sebarang bentuk penindasan ini.

Para penuntut ilmu sering disogok dengan sebuah nilai atau apa yang kita panggil sebagai status quo di mana apa yang disampaikan oleh guru harus diterima tanpa sebarang pertikaian. Status ini hakikatnya banyak membantutkan kreativiti dan menjadi penghalang kepada medium pemikiran kritis. Manakala pelajar tiada hak untuk mempersoalkan taraf ilmu seorang guru.

Pun begitu, guru-guru sebagai agen pendidikan sebenarnya turut tertindas apabila terikat dalam sistem yang sama. Sistem pendidikan kebangsaan yang ideal seharusnya menjadikan komunikasi sebagai pendekatan terbaik bagi mencipta kepercayaan yang seterusnya menjurus kepada penyelesaian masalah masyarakat dalam kehidupan mereka. Hal ini dibicarakan secara kritis oleh ahli panel yang tuntas memberikan pendapat dari sudut pandang berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang masing-masing.

Secara kesimpulannya, kesemua ahli panel berpendapat bahawa metodologi yang dibawa oleh Paulo Freire berupaya membuka mata masyarakat dan meletakkan pendidikan sebagai agen pembebasan jiwa dan pemikiran daripada terikat dan terkurung dengan doktrin-doktrin lapuk yang tidak membantu pembangunan seorang insan.

Share this :