Program Pembudayaan Ilmu bersempena dengan sambutan Hari Wanita 2023 anjuran Perpustakaan UTM, UTM Toastmasters Club dan WANGI telah menjemput Dr. Rohaida Binti Adam, Pakar Perubatan Perbidanan dan Sakit Puan dari Hospital Gleneagles Medini Iskandar Puteri, Johor bagi mengupas tajuk PCOS – Apa Yang Anda Perlu Tahu? telah diadakan pada 8 Mac 2023. Moderator, Saudara Maizatul Nadwa Binti Che Aziz dari UTM Toastmasters Club memulakan program dengan memperkenalkan latar belakang panel seterusnya menerangkan tema sambutan hari wanita pada tahun ini.

Sambutan Hari Wanita Sedunia disambut 8 Mac setiap tahun, termasuklah di Malaysia. Pada tahun 2023, “Kasih Wanita” telah dipilih sebagai tema sambutan pada kali ini. Akronim Kasih ini membawa maksud K (kasih sayang) sebagai menghargai kaum wanita yang sentiasa mencurahkan kasih saying, A (akhlak mulia) sinonim dengan sifat kaum wanita yang sentiasa menerapkan dan mengekalkan akhlak mulia, S (sihat) wanita juga selalu memastikan diri dan keluarga sihat, I (ilmu) wanita hari ini dilihat turut sama bersaing seiring kaum lelaki dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan H (harmoni) pula sinonim dengan sifat kaum wanita yang sentiasa memelihara keharmonian sekeliling.

Panel memulakan perkongsian dengan menerangkan apa itu PCOS? Polycystic ovary syndrome (PCOS) atau bahasa melayunya Sindrom ovari polikistik dalah satu sindrom yang boleh memberi kesan kepada kitaran haid, kesuburan dan rupa fizikal seseorang wanita yang mengidapinya. Pesakit PCOS akan menghadapi masalah kitaran haid yang tidak menentu disebabkan ketidak-seimbangan hormon dalam badan dan ini boleh menjejaskan kesuburan pesakit.  Pengidap PCOS juga mempunyai level hormon lelaki (androgen) yang lebih tinggi, menghasilkan hirsutism, rambut kepala nipis di bahagian ubun-ubun (botak) dan jerawat. Selain itu, panel mengatakan hampir 1 daripada 10 wanita di Malaysia akan mendapat PCOS.

Gejala PCOS mungkin berbeza-beza. Simptom PCOS termasuk kitaran haid yang tidak teratur atau tidak datang sama sekali, mempunyai banyak bulu di muka atau badan yang lebih dari biasa, kehilangan rambut di kepala, obes, jerawat atau kulit muka berminyak dan kemurungan atau berubah suasana hati (mood). Diagnosa PCOS biasanya dibuat apabila wanita itu mempunyai mana-mana dua daripada tiga antara berikut iaitu kitaran haid yang tidak teratur atau jarang atau tidak ada period, mempunyai hormon lelaki (androgen) yang tinggi seperti bulu badan dan di muka yang lebih daripada biasa dan menjalani ujian darah yang menunjukkan kadar testosteron yang lebih tinggi dari wanita biasa atau imbasan ultrasound yang menunjukkan ovari polisistik. Ovari polistik adalah satu keadaan dimana terdapat banyak sista kecil (follicles) tersusun di dalam ovari seseorang dan hanya dapat dilihat dengan bantuan imbasan ultrasound.  Fenomena ini berlaku pada 20% wanita yang normal.  Walaubagaimanapun, bukan semua wanita yang mempunyai ovari polisistik mengidap PCOS.

Bagi rawatan utk pesakit PCOS pula, panel mengatakan ia bergantung kepada simptom atau tanda dan berkisar kepada kehendak pesakit. Antara rawatan yang boleh diambil adalah mengambil pil perancang (OCP) untuk memperbetulkan kitaran haid atau mengambil Progestin sejenis hormon yang diberi selama 21 hari untuk 1 hingga 3 bulan. Ia boleh mangatur pusingan haid tapi tidak membantu dalam hirsutism atau jerawat.  Progestin juga tidak menghindar keupayaan mengandung (ia bukan OCP).  Akan tetapi, ia boleh mengurangkan risiko kanser rahim dan hyperplasia selaput endometrium. Selain itu, Dr. juga turut mencadangkan menurunkan berat badan kerana kaedah ini yang paling efektif dalam mengawal insulin, mengatur semula kitaran haid supaya kembali normal dan simptom-simptom PCOS lain. Antara komplikasi jangka masa panjang bagi pengidap PCOS seperti boleh mendapat kanser kerana haid yang tidak teratur boleh mengakibatkan selaput endometrium menebal sehingga terhasilnya hyperplasia.  Ini boleh mengakibatkan kanser rahim.  Oleh itu mereka yang mempunyai masalah haid (haid datang kurang dari 4 kali dalam setahun) disarankan berjumpa doktor. Selain itu, pesakit PCOS juga boleh mendapat masalah kemurungan akibat daripada kurang jati diri kerana kegemukkan dan perasan tidak yakin.

Walau bagaimanapun, komplikasi PCOS ini boleh dikurangkan dengan mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat dan seimbang, melakukan senaman secara istiqomah dalam regim senaman dan bersenam paling kurang 3 kali seminggu, mengurangkan berat badan kerana ia boleh menurunkan risiko kencing manis, koronari jantung dan semula kitaran haid dan mengurangkan risiko hyperplasia endometrium dan menjalani saringan kesihatan lebih kerap dan berkala.  Lebih-lebih lagi bagi mereka yang berumur 40an ke atas, dan berisiko kencing manis dan darah tinggi. Kesimpulannya, amalkan cara hidup sihat dan kekalkan berat badan yang ideal. Makanlah makanan seimbang dan berkhasiat serta halal. Dengan cara-cara hidup seperti inilah, PCOS dan komplikasinya dapat dibendung dan dikurangkan.

Share this :