Program Ijtihad Pustaka Siri 2 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dengan kerjasama Jabatan Perpustakaan UTM telah diadakan pada hari Isnin, 3 April 2023 bermula jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari secara dalam talian melalui Facebook Perpustakaan UTM dan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Perpustakaan UTM KL. Moderator pada kali ini adalah Ustaz Mohamad Firdaus bin Pazim @ Fadzim, Pegawai Tadbir Jabatan Canselori, Pusat Islam, UTM JB dan panel jemputan adalah Dr Mohd Khairy bin Kamarudin, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Akademik Tamadun Islam, UTM JB.

Pada siri kali ini panel telah membincangkan sebuah buku bertajuk “Panduan Syarak tentang Emas” yang telah diterbitkan pada tahun 2015 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku ini merupakan hasil gemblengan tenaga dan akal fikiran tiga orang ahli akademik iaitu Engku Muhammad Tajuddin Engku Ali, Mahadi Mohamad dan Ahmad Tirmizi Taha. Buku ini umumnya menceritakan tentang hukum syarak yang berkaitan dengan emas. Ia dapat menarik minat pembaca untuk mengetahui tentang emas dan panduan penggunaan mengikut syarak Islam. Selain itu, ia juga merupakan sebuah buku yang menarik kerana berjaya mengupas persoalan yang sering ditimbulkan oleh masyarakat, iaitu persoalan tentang isu kontemporari mengenai hukum transaksi emas dan juga hukum bukan transaksi emas. Buku ini diharapkan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keupayaan emas sebagai aset yang bernilai sepanjang zaman berdasarkan al-Qur’an dan Sunnah. Selain itu, buku ini juga mengemukakan pandangan ulama tradisional dan fatwa serta resolusi semasa berkaitan emas.

Buku ini mempunyai tiga elemen penting. Pertama, kedudukan emas dalam tamadun manusia termasuk di Alam Melayu dan penjelasan mengenai kedudukan emas dalam kehidupan manusia menurut perspektif Islam. Kedua, hukum berkaitan emas yang bukan berbentuk transaksi seperti penggunaan emas dalam bentuk pemakaian dan penggunaan lain serta hukum yang berkaitan dengan zakat emas. Ketiga, hukum berkaitan transaksi yang melibatkan emas seperti jual beli, gadaian dan pelaburan dalam bentuk tradisional mahupun kontemporari.

Emas merupakan logam berwarna kuning berkilauan yang perlu dilombong kerana ia tidak boleh dicipta. Emas juga adalah satu unsur logam dengan nombor atom 79 dan simbol Au (Aurum) yang bermaksud Warna Kuning dalam satu Bahasa Inggeris lama dan simbol itu datang daripada huruf Latin Aurum yang bermaksud “subuh berkilat”. Selain itu, pada era Khalifah Abdul Malik bin Marwan, iaitu khalifah ke-5 Empayar Umayyah barulah matawang emas pertama dikeluarkan yang dikenali sebagai ‘Dinar‘. Emas sering disebut dalam Al-Quran dan ia merupakan salah satu perhiasan syurga kelak yang dijanjikan oleh Allah S.W.T. Ianya boleh dikatakan menjadi kesukaan sesiapa sahaja dan amat bernilai harganya.

Namun, bagaimanakah konsep pelaburan emas dalam Islam yang sebenar? Kini, pelaburan emas telah menjadi satu fenomena besar di kalangan masyarakat negara kita. Pelaburan emas ini dilakukan untuk mendapatkan keuntungan hasil dari peningkatan kadar nilai emas dari masa ke semasa. Justeru, terdapat banyak pihak yang menawarkan pelbagai produk yang berasaskan emas. Para ulama telah membahaskan isu transaksi jual beli emas yang dipanggil dengan nama Bai’ al-sharf. Ianya merupakan jual beli emas yang telah diiktiraf dan dibenarkan oleh syarak berdasarkan sumber daripada Al-Quran dan Hadis. Walaupun pelaburan emas ini dibenarkan dalam Islam namun kita juga harus berhati-hati. Ini kerana emas tergolong sebagai barang riba, maka mudah untuk ia terjerumus ke dalam aktiviti riba jika kaedah transaksi yang digunakan tidak menepati syariah.

Panel berpendapat bahawa emas sinonim dengan manusia dan wanita. Emas boleh dijadikan perhiasan sebagai kecantikan mengikut panduan syarak. Dalam buku ini, terdapat empat garis panduan memakai emas menurut Islam iaitu perhiasan bukan dalam bentuk patung, tidak menyerupai golongan kafir, tidak memakai emas untuk tujuan bongkak dan takbur (menunjuk-nunjuk) dan tidak berlebih-lebihan. Dalam Islam, kaum lelaki diharamkan daripada memakai apa sahaja barangan berunsur emas yang berupa cincin emas, gelang emas, rantai emas, subang emas mahupun gigi emas kecuali dalam keadaan darurat atau untuk tujuan perubatan dan mengikut syarak.

Terdapat satu Ayat Quran disampaikan oleh moderator yang berkaitan emas, Surah Al- Imran: Ayat 14 yang bermaksud “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”

Contohnya bekas yang dibuat dari logam selain emas dan perak kemudian disadurkan luarannya dengan warna keemasan (yakni bukan disadur dengan emas, tetapi dengan bahan yang memberi warna keemasan), ia harus digunakan kerana yang diambil perkiraan bukan warna luarannya, tetapi bahan pembuatannya. Oleh kerana bahan pembuatannya bukan dari emas dan perak, maka ia tidak tertakluk dengan larangan Nabi SAW dalam hadisnya walaupun warnanya keemasan seperti emas.

Panel menjelaskan tentang empat jenis zakat dalam Islam iaitu zakat badan atau zakat fitrah yang wajib dibayar, zakat harta (termaktub kepada manusia yang mempunyai harta yang cukup had wajib membayar zakat), zakat pertanian dan zakat penternakan. Manakala, emas yang cukup haul dan nisab perlu dibayar zakat. Zakat ibarat cukai tetapi wajib dibayar. Emas yang dibeli tetapi tidak digunakan dan disimpan perlu dibayar zakat supaya berkembang untuk diberikan kepada lapan golongan asnaf. Emas yang disimpan cukup 85 gram perlu dizakatkan dengan kadar 2.5% atau 1.40 gram emas. Namun, zakat emas tidak wajib bagi sesetengah pandangan dan wajib dibayar sekiranya melebihi kadar sepatutnya.

Uruf (kadar) zakat berbeza mengikut negeri kerana fatwa zakat tidak diuruskan oleh Majlis Agama Islam Malaysia. Majlis-Majlis Agama Negeri merasakan perlunya usaha untuk menggalakkan umat Islam membayar zakat fitrah mengikut beras yang dimakan supaya amalan zakat fitrah mereka lebih sempurna dan tepat. Ingatlah bahawa zakat fitrah ini wajib ke atas semua tidak kira kaya atau miskin kecuali yang benar-benar susah dan tidak mempunyai harta atau wang yang lebih dari kadar untuk belanja dirinya dan anak isteri pada hari raya.

Program turut diserikan dengan sesi kuiz yang diberikan kepada para penonton. Jawapan kepada soalah kuiz tersebut hendaklah di tulis di ruangan komen. Pemenang akan dipilih berdasarkan jawapan yang tepat dan pantas. Soalan pertama, siapakah penerbit buku Panduan Syarak Tentang Emas? Soalan kedua adalah berapakah kadar bayaran zakat emas di negeri Johor?  Sebelum mengakhiri perbincangan pada kali ini, panel dan moderator menggalakkan para pendengar membeli emas untuk kegunaan masa depan.

Share this :