Bersempana bulan Ramadhan tahun 2023M/144H, Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia menyediakan santapan minda baru yang diberi nama “Ijtihad Pustaka”. Ijtihad Pustaka merupakan program K-Sharing sinergi bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS). Program K-Sharing Ijtihad Pustaka Siri 1/2023 telah berlangsung pada hari Isnin, 27 Mac 2023 pada jam 11.00 pagi secara dalam talian melalui Facebook Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia, Facebook Perpustakaan UTM Kuala Lumpur serta Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka. Panel jemputan bagi siri 1 ialah Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Abu @ Hussin, Timbalan Dekan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia manakala moderatornya adalah Dr. Zulkifli bin Hamisan @ Khair, Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia.

Panel jemputan berkongsi intipati sebuah buku yang bertajuk “Hutang Dan Pembangunan Ekonomi Dalam Islam”. Buku hasil penulisan Profesor Madya Dr. Nor Asmat binti Ismail, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah diterbitkan pada tahun 2013 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, mendapat skala 5 bintang oleh Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi.

Seperti mana yang kita semua tahu, Al-Quran merupakan kalam Allah yang penuh dengan petunjuk dan panduan untuk umat manusia menjalani kehidupan. Di dalam Al-Quran ada menyebut perihal hutang dengan ayat paling panjang, iaitu surah al-Baqarah ayat 282. Sementara itu, Al-Quran juga menyatakan hutang perlu dilunaskan walaupun penghutang sudah meninggal dunia dengan hartanya sendiri sebelum dibahagikan kepada perkara lain. Kita disunatkan untuk mencatat semua hutang agar tidak terlupa melunaskannya dan hutang dijelaskan tanpa unsur tambahan yang akan membawa kepada isu riba.

Buku ini membincangkan pelaksanaan dasar fiskal mengembang, khususnya peningkatan perbelanjaan kerajaan yang dibiayai dengan berhutang untuk meningkat pertumbuhan ekonomi di negara-negara Islam berdasarkan teori Keynes. Panel berpendapat buku ini memberikan manfaat kepada pihak berkuasa negeri atau agensi bagi membantu mereka membuat pilihan, sama ada perlu berhutang atau sebaliknya untuk melaksanakan sesuatu operasi. Sikap berhemah amat penting apabila mengamalkan kaedah berhutang dalam meksanakan sesuatu operasi.

Kebanyakkan negara di dunia mempunyai hutang yang ditanggung. Malaysia mempunyai hutang sebanyak 65% hingga 75% pada tahun 1996 kerana krisis kewangan Asia yang memaksa kerajaan berhutang. Saat ini hampir seluruh negara menggunakan hutang sebagai salah satu sumber pembiayaan pembangunan. Bagi negara yang sedang berkembang, hutang menjadi instrumen pembiayaan yang cukup penting.

Kelainan program kali ini ialah program Ijtihad terdapat sesi kuiz yang diberikan kepada para penonton. Bagi yang berjaya menjawab dengan tepat dan cepat akan diberikan hadiah-hadiah menarik dari DBPWS dan Perpustakaan sendiri. Sebagai penutup, pengulas mengajak untuk memahami tentang pembangunan dalam negara Islam dan bagaimana hutang itu berperanan serta alternatif Islam gariskan membolehkan negara membuat hutang kerana banyak konsep hutang dalam Islam.

Share this :