Program Pembudayaan Membaca Perpustakaan UTMJB bagi tahun 2023, diteruskan lagi dengan siri ke-4 yang telah disiarkan secara langsung dari bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah. Sesi pada kali ini telah menjemput dua orang ahli panel, Encik Muhammad Sayid bin Saifuzzaman seorang Penolong Pegawai Tadbir, Jabatan Perpustakaan UTM yang memilih untuk mengulas buku bertajuk Atomic Habits dan Saudari Nurul Arifah binti Zainudin yang merupakan Pembantu Pustakawan di Seksyen Pengurusan Koleksi Perpustakaan Sultanah Zanariah bersama bukunya yang bertajuk 55 Petua Seronok Bekerja. Moderator bagi sesi kali ini ialah Encik Akmal Alif bin Amran dari Perpustakaan UTM.
Pengarang buku Atomic Habits, James Clear, merupakan penulis dan penceramah yang memfokuskan pada topik kebiasaan, membuat keputusan dan juga peningkatan berterusan. Karya dari James Clear muncul di The New York Times, Time, CBS This Morning dan lain-lain. Penulis buku ini mengungkapkan perkara-perkara yang dapat membuat perubahan kecil atau remeh menjadi perkara besar dan dapat mengubah kebiasaan buruk yang kita jalani seumur hidup. Selain itu, buku ini meneroka teori psikologi dan neurosains terkini untuk menjelaskan mengapa semua perkara di dunia ini penting dan juga menceritakan bagaimana kisah inspirasi dari pemenang pingat emas Olimpik, CEO terkemuka di dunia kepada saintis yang menjalankan tabiat kecil melalui sains untuk tetap bahagia, bermotivasi dan produktif.
Pengulas mengatakan dalam proses membina dan mengembangkan kebiasaan kita, ada beberapa proses yang dapat membantu kita mencapai tujuan atau matlamat dalam mencapai kebiasaan baik yang diinginkan antaranya adalah jadikan tabiat lebih jelas dan juga realistik, jadikan tabiat kita lebih mudah dan menarik dan jadikan tabiat itu memuaskan. Buku Atomic Habits adalah sejenis buku terperinci dan mempunyai pendedahan yang mudah difahami kerana setiap strategi yang diberikan mempunyai contoh dan ada hasil penyelidikan, tetapan cerita, teori watak, fakta saintifik, juga idea dari James Clear itu sendiri. Setiap bab akan diakhiri dengan ringkasan yang akan memudahkan pembaca kembali mengingat perkara penting dalam bab ini. Kaedah penulisan yang dipilih oleh James Clear juga dalam bentuk dialog, penceritaan, dan pendedahan dalam bahasa yang mudah difahami. Buku ini juga menggunakan konsep dalam kehidupan seharian sehingga pembaca merasa terkait dengan kandungan buku ini dan juga penekanan dalam buku ini memfokuskan pada perubahan dari perkara kecil dan juga mudah diterapkan dalam kehidupan seharian pembaca.
Buku 55 Petua Orang Berjaya ini adalah himpunan idea-idea kejayaan yang dikongsi oleh individu-individu berjaya dan paparan petua bagaimana mereka menguruskan hidup mereka sehingga memperoleh kecemerlangan dan keunggulan dalam hidup. Buku setebal 188 muka surat ini merupakan buku yang ditulis oleh pakar motivasi yang terkemuka di Malaysia iaitu YBhg. Dato’ Dr. Haji Fadzilah Haji Kamsah. Buku ini mengandungi 6 bab iaitu Matlamat dan Kejayaan, Mengurus Masa, Prioriti dan Agihan Tugas, Belajar Mengurus Kerja, Bekerja Berpasukan dan Belai Diri Sendiri.
Antara penekanan yang ditampilkan dalam buku motivasi ini adalah bagaimana seseorang itu perlu berubah dan mempunyai fikiran sebagai seorang juara untuk memastikan dirinya seorang yang berjaya sebagaimana yang dinyatakan dalam salah satu kata-kata hikmah yang terkandung dalam buku ini iaitu ’Kita tidak boleh berjaya sekiranya kita menyatakan bahawa kita akan gagal’’. Penulis turut menyarankan agar matlamat seseorang dalam kehidupan perlu jelas agar sasaran mudah untuk dicapai dan sentiasa mempunyai semangat atau ‘bernafsu’ untuk bekerja. Penulis turut memberi penekanan tentang kepentingan seseorang itu mempunyai ‘role model’ dalam usaha untuk menjadikan dirinya seorang yang berjaya. Tidak semestinya seseorang itu mencari ‘role model’ dalam bidang yang sama, apa yang penting adalah ‘role model’ itu boleh memberi inspirasi dan motivasi kepada seseorang itu untuk berubah dan menjadi seorang yang lebih positif dan seterusnya menjadi orang yang berjaya.
Selain itu, penulis turut mengaitkan kepentingan pengurusan masa dalam bab 2 iaitu bagaimana seseorang itu perlu menghargai masa, mengelakkan sikap suka bertangguh dalam melaksanakan sesuatu tugasan atau pekerjaan. Penulis juga menyarankan agar kita perlu bijak membahagikan masa iaitu masa untuk bekerja, masa untuk keluarga mahupun masa untuk diri sendiri. Turut diberi penekanan dalam hal ini ialah bagaimana seseorang itu perlu menyedia dan menggunakan log masa agar segala yang dijalankan lebih teratur dan sistematik. Dalam bab yang lain pula, penulis turut berkongsi maklumat bagaimana seseorang itu perlu membuat perancangan kerja yang terancang dan sistematik dan jangan sesekali malu bertanya jika ada perkara-perkara yang tidak difahami khususnya dalam melaksanakan tugasan yang diberi di tempat kerja.
Buku ini agak menarik kerana bukan sahaja mengetengahkan tips-tips motivasi bagaimana untuk membentuk diri menjadi orang yang berjaya malah beliau turut menyelitkan kata-kata hikmah dan mutiara kata, ayat-ayat al-Quran dan hadis, kisah-kisah sejarah dan berbagai sumber lagi. Antara kata-kata hikmah dan mutiara kata yang dipetik terdiri daripada tokoh-tokoh terkenal dari dalam dan luar negara seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Peter F. Drucker, Sayyidina Ali bin Abi Talib, J.B. Fuqua dan Hal Leavitt serta ramai lagi tokoh terkenal. Secara keseluruhannya buku ini mudah difahami oleh pembaca kerana laras bahasa yang digunakan adalah mudah dan tidak terlalu banyak menggunakan terminology dalam bidang pengurusan/motivasi. Buku ini juga disusun secara teratur mengikut bab-bab tertentu dan turut dihiasi dengan ilustrasi menarik dan sesuai dibaca oleh semua peringkat umur.