Sempena mengimarahkan bulan Ramadhan Al Mubarak 1444 Hijrah yang mulia dan penuh barakah, pihak Kelab Keluarga Staf Perpustakaan UTM (KKSPUTM) dengan kerjasama Jabatan Perpustakaan UTM telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran 2023 yang berlangsung pada 18 April 2022 (Selasa) jam 2.30 petang.
Majlis ini diadakan dengan tujuan untuk mempertingkatkan tahap penghayatan staf Jabatan Perpustakaan UTM terhadap Al-Quran dan juga meraikan bulan Ramadan yang mulia ini
Memupuk perasaan minat dan kecintaan terhadap al-Quran dalam diri staf Perpustakaan UTM adalah sesuatu yang sangat patut dijadikan amalan dalam kalangan warganya sendiri di samping menghayati peristiwa Nuzul Al-Quran.
Program ini melibatkan semua staf di Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah dan Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru.
Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran bagi Majlis Khatam Al-Quran ini dipimpin oleh En. Akmal Alif bin Amran dan majlis ini turut dihadiri oleh pihak pengurusan Jabatan Perpustakaan UTM, Pustakawan dan staf sokongan yang lain. Melalui program ini, staf dapat menghayati bulan Ramadan dengan lebih mendalam serta memperoleh ganjaran pahala yang besar kerana memartabatkan al-Quran dalam kehidupan seharian terutama pada bulan Ramadan.
Dengan adanya program seperti ini, diharapkan kita dapat melahirkan staf yang memartabatkan al-Quran dan bukan sahaja sekadar membaca al-Quran tetapi memahami setiap isinya. Oleh itu, program ini sewajarnya menjadi program tahunan agar dapat meningkatkan tahap kerohanian dalam diri dan istiqamah dalam melakukan ibadat bukan sahaja pada bulan Ramadhan.