Pada 12 Mei 2023 (Jumaat) satu Program Bacaan Pantas yang melibatkan Perpustakaan UTM dan Perpustakaan Politeknik Metro Kuala Lumpur telah diadakan bertempat di Politeknik Metro. Fasilitor yang terlibat adalah Puan Nurrull Huda Abdul Wahid yang merupakan Pustakawan Kanan di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.

Program yang diadakan selama 2 jam ini telah dihadiri oleh 63 orang pelajar mewakili 3 kursus yang ditawarkan di Politeknik Metro tersebut. Pengisian dimulakan dengan mendapatkan maklum balas daripada peserta berkenaan apa yang mereka mahukan untuk program kali ini. Peserta diminta untuk menjawab maklumbalas tersebut di platform menti.com.

Fasilitator meneruskan program dengan topik pertama “Tips Minat Membaca”, disini beberapa perkara dihuraikan seperti kronologi pembacaan, kelebihan membaca buku, objektif membaca dan tips memilih buku untuk dibaca. Topik yang kedua adalah berkenaan “Tips Bacaan Cepat dan Peta Minda” yang juga merupakan topik utama bagi program ini. Beberapa perkara telah dijelaskan kepada peserta seperti tabiat kepada pembacaan yang lambat, teknik psikologi yang boleh dipraktikan secara praktikal, pembacaan yang berkesan, latih tubi pembacaan laju dan diakhiri dengan kaedah penyediaan peta minda.

Keberkesanan program ini dapat dilihat apabila ada peserta berkongsikan hasil peta minda yang telah dibuat. Semoga program yang dilaksanakan selama dua jam ini dapat memberi ilmu baharu kepada semua peserta yang hadir dengan mengaplikasikan teknik yang telah diberikan dalam meningkatkan kaedah pembacaan yang cepat dan berkesan.

Share this :