Program Read & Relax Siri 6 Perpustakaan UTM Johor Bahru telah dijalankan pada 11 Mei 2023 (Khamis) dengan membawakan 2 orang pengulas daripada Menara Optometeri iaitu Puan Hadijah binti Hassan, Optometeris Kanan, Menara Optometry Taman Dato Onn dan pengulas kedua iaitu Saudari Iffah binti Wan Azelee, Optometeris, Menara Optometry Taman Universiti. Moderator program pada kali ini adalah Saudara Mohamad Admin bin Sadali, Pembantu Perpustakaan Kanan, UTM.
Pengulas pertama iaitu Puan Hadijah binti Hassan, akan mengulas buku bertajuk “Masalah Penglihatan Kanak-Kanak” yang ditulis oleh Haliza binti Abdul Mutalib. Beliau memaklumkan bahawa buku ini amat sesuai dibaca oleh ibu bapa bagi memudahkan mereka mengesan perubahan penglihatan anak mereka. Ibu bapa sering kali menganggap perkara ini mudah dan tidak terfikir jika masalah penglihatan boleh terjadi pada anak mereka. Buku ini mengandungi lapan bab seperti penglihatan awal bayi, alaham dan keratokanus, masalah penglihatan, rehabilitasi penglihatan, rawatan dan terapi penglihatan, kecederaan mata dan penggunaann kanta sentuh khas kanak-kanak.
Beliau juga memaklumkan bahawa penulis buku ini merupakan seorang optometeris yang berpengalaman dan merupakan guru kepada beliau. Hasil daripada buku ini banyak menceritakan tentang pengalaman penulis sebagai optometeris. Bahagian awal buku ini menerangkan mengenai masalah penglihatan awal bayi. Dimana masalah penglihatan yang sering berlaku pada kanak-kanak umumnya adalah masalah rabun. Ibu bapa biasanya selalu ambil mudah perkara ini kerana kebanyakan ibu bapa berfikir masalah rabun terlalu awal untuk usia anak mereka.
Dalam buku ini juga penulis ada menerangkan cara merawat masalah penglihatan kanak-kanak. Ibu bapa juga digalakkan untuk merujuk kepada Optometeris untuk membaiki masalah penglihatan kanak-kanak. Pada pandangan beliau, buku ini amat sesuai dibaca oleh ibu bapa yang mementingkan kesihatan penglihatan kanak-kanak disamping ingin menambah pengetahuan tentang masalah penglihatan anak mereka serta bagaimana hendak merawat.
Manakala pengulas kedua iaitu Puan Iffah binti Wan Azelee, mengulas buku bertajuk “100 Persoalan Tentang Kanta Lengkap”. Buku ini telah ditulis oleh Haliza binti Abdul Mutalib. Beliau memaklumkan buku ini mengandungi 10 bab seperti pengamal kanta lekap, kriteria pemakaian kanta lekap, lain-lain kaedah rawatan, jenis-jenis kanta lekap, prosedur pemeriksaan, kebaikan kanta lekap, komplikasi kanta lekap, pemakaian kanta lekap, gunaan lain kanta lekap serta lawatan susulan dan temu janji.
Beliau memaklumkan buku ini mempunyai 100 persoalan berkisar mengenai kanta lekap yang dijawab secara terperinci mengikut 10 tema yang disediakan. Tema tersebut adalah untuk memudahkan pembaca mencari persoalan serta jawapan yang ingin diketahui. Pemilihan tema tersebut adalah berdasarkan isu umum yang sering menjadi persoalan dan penting diketahui oleh masyarakat.
Antara persoalan yang sering menjadi pertanyaan masyarakat adalah menyentuh mengenai pemakaian kanta lekap. Belaiu memaklumkan tidak semua orang sesuai menggunakan kanta lekap. Pemeriksaan optometeri perlu dilakukan untuk memastikan sama ada seseorang itu sesuai memakai kanta lekap atau sebaliknya. Dalam buku ini juga ada membincangkan jenis-jenis kanta lekap dan kebaikan pemakaian kanta lekap berbanding dengan pemakaian cermin mata. Kaedah prosedur pemeriksaan mata sebelum dan semasa pemasangan kanta lekap.
Dalam bab seterusnya beliau juga memaklumkan bahawa buku ini ada menerangkan dengan menyeluruh tentang kebaikan dan keburukan kanta lekap serta komplikasi terhadap penggunaannya sekiranya tidak dipantau dengan baik. Bab seterusnya dalam buku ini juga ada menerangkan mengenai gunaan kanta lekap sebagai rawatan rabun warna dan kosmetik. Manakala bab terakhir dalam buku ini menekankan tentang lawatan susulan dan temu janji sebagai satu kemestian pemakai kanta lekap.
Rumusan daripada bacaan buku ini secara dasarnya buku ini amat sesuai untuk dijadikan sebagai bahan bacaan umum kepada semua peringkat dalam aspek penjagaan kesihataan pengelihatan bermula daripada peringkat bayi lagi dan penggunaan kanta lekap yang betul. Disamping menjelaskan implikasi yang akan berlaku jika penggunaan dan rawatan yang tidak betul. Buku ini juga ditulis berdasarkan kepada pengalaman penulis itu sendiri. Penyampaian isi dalam buku ini amat ringkas, menarik, padat dan penggunaan bahasa yang mudah difahami.