Sesi Read & Relax, Siri 5/2023 di Perpustakaan UTM Johor Bahru telah dijalankan pada 13 April 2023 (Khamis) dengan membawa dua (2) orang pengulas iaitu Puan Nurul Ashikin binti Amran, Content Creator dan Puan Syaza Soraya Sauli, Penyelaras, Friends of UTM Library (FLUTM). Manakala moderator ialah Salihuddin bin Bakhri, Pembantu Perpustakaan Kanan, Jabatan Perpustakaan UTM.
Pengulas pertama iaitu Puan Nurul Ashikin binti Amran memilih buku bertajuk “Talk to Allah”. Antara perkara yang dijelaskan di dalam buku ini adalah berdoa pada bila-bila masa dan di mana-mana jua berada kerana sesungguhnya Allah sentiasa mendengar setiap doa yang disampaikan dan Allah jua yang memakbulkan doa-doa tersebut. Menurut pengulas, melalui buku ini beliau menyedari bahawa Allah menjawab doa dengan tiga cara jawapan, iaitu Allah beri apa yang kita minta, Allah beri tepat pada tempat dan masanya dan Allah beri lebih dari apa yang kita minta.
Tambahnya lagi, Allah sebenarnya mahu hambaNya bersabar dengan ujian yang diberi kerana Dia ingin hambaNya sentiasa bersabar, sentiasa meminta kepadaNya dan redha dengan dugaan yang diberikan. Justeru, pengulas memaklumkan bahawa perlunya sentiasa bersangka baik dengan Allah yang akan sentiasa mengabulkan doa hambaNya serta jangan pernah berhenti berdoa kepadaNya pada bila-bila masa.
Manakala pengulas kedua iaitu Puan Syaza Soraya Saul mengulas buku bertajuk “The Secrete of Play”. Secara umumnya, buku ini menggambarkan tentang sudut pandang orang barat tentang perkembangan anak-anak. Terdapat kajian-kajian saintifik yang menyokong penghasilan buku ini. Terdapat pelbagai perkara yang dibincangkan tentang cara didikan anak dan kaitannya dengan alam sekitar. Sebagai ibu bapa, sewajarnya merasa risau apabila anak-anak bosan. Namun begitu menurut kajian, kebosanan anak-anak itu sangat penting untuk memberi anak-anak ruang untuk berimaginasi dan berfikir secara kreatif. Apabila mereka bosan, mereka akan mencipta sesuatu yang kreatif untuk mengisi masa lapang mereka.
Menurut pengulas kematangan anak berbeza mengikut peringkat umur dan jantina. Oleh itu sebagai ibu bapa, ibu bapa perlu memberi sedikit ruang dan kebebasan kepada anak-anak untuk membentuk perkembangan mereka dan raikanlah setiap perbezaan dalam setiap diri anak-anak.