Program bicara karya yang telah berlangsung pada 18 Mei 2023 menyaksikan seorang panel telah dijemput khas untuk mengisi slot sempena Program Dekad Membaca Kebangsaan 2023, iaitu Cik Ayu Fairuza Zakaria atau lebih dikenali dengan nama Fai Zakaria. Slot bicara karya beliau berjudul Kala Kesunyian Membingitkan yang merupakan adaptasi dari judul buku yang ditulisnya sendiri. Moderator bagi sesi bicara karya ini adalah Pn. Nor Aishah P. Mosar yang merupakan Pustakawan, Perpustakaan UTM.

Fai Zakaria merupakan seorang artis yang juga aktif dengan pementasan karya seni melalui pelbagai medium dan juga pernah berkhidmat sebagai ‘interior designer‘ di sebuah syarikat antarabangsa dalam mereka bentuk butik mewah di seluruh dunia. Terdapat lebih 1500 karya yang telah dihasilkan dan sebahagian darinya telah dipilih untuk dimuatkan di dalam buku sebagai sumber inspirasi kepada pembacanya.

Kala Kesunyian Membingitkan merupakan buku yang ke-9 yang dihasilkan oleh Fai Zakaria dan buku ini mengandungi lukisan, frasa, keterangan ringkas berkaitan gambar dan juga beberapa sajak dan puisi. Pada hemat beliau lukisan yang diletakkan di dalam buku menggambarkan dirinya dan juga merupakan satu bentuk luahan dan cara beliau untuk menenangkan diri.

Beliau juga berpendapat lukisan ini dapat membantu kita memahami orang lain, kerana setiap individu yang melihat karya lukisan beliau akan mentafsirkan sesuatu yang berbeza walaupun hanya melihat pada satu lukisan yang sama. Lukisan jantung sangat sinonim dengan karya beliau di mana setiap karya akan ada simbol wajib ini cuma berbeza cara pengolahan dan penyampaian ceritanya.

Menurut penulis, cabaran yang dihadapinya sepanjang tempoh penghasilan karya ini adalah sangat minimum dan dalam kawalan kerana proses penghasilannya berjalan dengan lancar mengikut perancangan dan tiada perubahan pada jalan cerita sama ada di peringkat awal atau akhir karya ini dihasilkan.

Selain itu, naskhah ini turut diterbitkan dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi menarik lebih ramai lagi pembaca serta meluaskan lagi cabang pasaran ke peringkat antarabangsa. Di penghujung program, penulis telah mendeklamasikan satu daripada sajak yang dimuatkan di dalam naskhah ini kepada penonton yang hadir pada program ini.

Share this :