Perpustakaan UTM, telah menganjurkan Program Dekad Membaca Kebangsaan 2023 pada 18 Mei 2023 (Khamis) pada jam 11.00 pagi sehingga jam 12.30 tengah hari di Ruang Lestari, Aras 3, Perpustakaan Bangunan Sultanah Zanariah, UTM Johor Bahru. Program Dekad Membaca Kebangsaan merupakan sinergi Jabatan Perpustakaan UTM dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) adalah bertujuan untuk merancakkan lagi ekosistem membaca yang sihat dan berterusan dalam kalangan mahasiswa dan warga kampus.

Antara barisan tetamu jemputan ialah Prof Madya Dr. Siti Rahmah Binti Awang, Pengarah, Penerbit UTM Press selaku tetamu kehormat, Pn Nor Zuzilawati Sulaiman, Ketua Unit Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Encik Nor Halim bin Mohd Jamal @ Kamar, Pegawai Tadbir, Pusat Islam, Pn Nur’aina Osman, Pegawai Hubungan Media Seksyen, Hal Ehwal Korporat, En Azizul bin Azman, Presiden, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas, Nadratul Huda Ahmad, Yang Dipertua, Majlis Perwakilan Pelajar UTM, Syaza Soraya Sauli, Penyelaras, Friends of Library UTM, Mohammad Ridhwan bin Reyaz Ahmad, Timbalan Presiden (Pendidikan), UTM Toastmasters Club dan Knowledge Management Officer.

En Salihuddin Bakhri selaku pengerusi majlis memulakan majlis dengan bacaan ummul kitab dan kata alu-aluan. Seterusnya sesi Jom Baca 10 Minit Bersama serentak seluruh Malaysia telah dijayakan di semua cawangan Perpustakaan UTM dan dipancarkan melalui aplikasi streamyard di facebook dan youtube Perpustakaan UTM. Seramai 137 orang yang merangkumi pelajar dan staf UTM telah membaca bahan bacaan kegemaran masing-masing.

Acara berikutnya ialah program bicara karya bertajuk Kala Kesunyian Membingitkan menampilkan penulis buku, Cik Ayu Fairuza Zakaria dan moderator ialah Pn Nor Aishah P. Mosar. Panel telah berkongsi perjalanan dalam menghasilkan karya hebatnya serta mendeklamasikan sebuah sajak daripada buku tersebut. Program ini telah disertai oleh sejumlah 437 orang penonton secara dalam talian dan fizikal. Mereka turut diberikan peluang untuk mengajukan soalan kepada panel pada sesi soal jawab.

Beberapa aktiviti lain direncana bagi memeriahkan lagi program dekad membaca kebangsaan dengan jualan buku oleh penulis Fai Zakaria, pemeriksaan mata secara percuma oleh Menara Optometry, pendaftaran ahli kelab Friends of UTM Library (FLUTM) dan UTM Toastmasters Club (UTM TMC).

Share this :