Program BookTalk@Library Siri 9/2023 telah diadakan pada 24 Mei 2023 di Ruang Rehat, AIS UTMKL. Program kali ini menampilkan dua orang pengulas iaitu Puan Siti Nurshifa’ binti Md Rodzi dan Encik Shaharudin bin Ali di samping moderator, Puan Aznurul Ain binti Abdul Shukor.

Puan Siti Nurshifa’ binti Md Rodzi telah memulakan perkongsian dengan memilih buku Tip Wanita Bahagia yang ditulis oleh Ustazah Asma’ Harun. Menurut beliau, penulisnya melalui buku ini banyak berkongsi tips dan panduan untuk seseorang wanita itu mencapai rasa bahagia sama ada untuk diri sendiri atau dalam kerja seharian sekaligus menjadikan orang sekeliling kita turut merasa bahagia.

Kebanyakan panduan yang disampaikan oleh penulis buku ini semestinya dari sudut agama Islam, di mana amalan-amalan harian bersifat kerohanian yang boleh menjadikan hidup seseorang itu terutamanya para wanita itu berasa tenang dan tenteram. Antara amalan yang boleh dikerjakan adalah solat sunat, banyak berdoa, zikir-zikir yang sahih serta membaca Al-Quran beserta memahami maknanya.

Pengulas seterusnya iaitu Encik Shaharudin bin Ali  telah berkongsi buku pilihan beliau iaitu Inspirasikan Kehidupan Anda yang ditulis oleh Md Taib Mat. Buku ini menerangkan tonggak serta andaian utama Neuro-Linguistic Programming (NLP). Tambahnya lagi, buku ini turut menerangkan kepentingan matlamat dalam hidup seseorang dan cara yang baik untuk membantu mendapatkan matlamat untuk kejayaan hidup seseorang. Ia disampaikan dalam bentuk penceritaan dan dialog-dialog untuk memudahkan pemahaman pembaca. Antara yang terkandung dalam buku ini adalah seperti Mindsetting , Tiga Prinsip Berkaitan Komunikasi Manusia Dalam NLP, Prinsip Mengenai Niat, Daya Sumber Diri dan Kelenturan Kelakuan, Perkembangan Diri dan lain-lain yang ternyata boleh dijadikan sebagai bahan rujukan dan bacaan kepada semua tanpa lapisan umur.

Share this :