Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS) telah menerima seramai 150 orang pelajar dan 30 orang guru Tingkatan 6 dari SMK Pasir Gudang 2 (SMKPG2) pada 25 Mei 2023 yang lalu. Objektif lawatan ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang teknik yang betul dan tepat dalam mengakses sumber maklumat, memberi peluang kepada pelajar untuk merasai pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah dan memberi peluang kepada pelajar untuk melatih diri dalam membuat jaringan akademik dengan organisasi luar.
Antara pengisian program bagi lawatan kali ini ialah, JPUTM berbesar hati menjemput Dr Mohamad Ikram yang merupakan seorang Pensyarah di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) untuk berkongsi ilmu mengenai modul Science, Technology, English and Maths (STEM). Dr Ikram berkongsi serba sedikit tentang modul dan mengajar bagaimana cara untuk membuat corak melalui graf.
Sesi perkongsian ilmu seterusnya diteruskan dengan wakil Unit Korporat JPUTM iaitu Puan Nas Rashidah Mohd Muztaza dengan perkongsian serba sedikit mengenai latar belakang perpustakaan, servis yang ditawarkan kepada pengguna dan koleksi-koleksi perpustakaan. Program diteruskan lagi dengan sesi perkongsian bertajuk “Kelas Literasi Maklumat’ yang disampaikan oleh Puan Haliza Zainal. Pada sesi ini, para pelajar diberi pendedahan bagaimana kaedah pencarian maklumat yang tepat dan efisien, jenis-jenis perpustakaan berserta fungsinya dan diakhiri dengan sesi kuiz.
Program lawatan hari ini diakhiri dengan sesi lawatan di ruang pengguna bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah. Para pelajar di bawa ke setiap sudut dan ruang serta galeri bagi memberikan mereka pendedahan dan pengalaman sebagai pelajar UTM.
Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada para pelajar dan dalam masa yang sama dapat menyuntik semangat mereka untuk menyambung pengajian hingga ke menara gading.