Pada 8 Jun 2023, Jabatan Perpustakaan UTM telah mengadakan program Read & Relax Siri 7/2023 bertempat di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah dan disiarkan secara langsung di laman Facebook Perpustakaan UTM dan juga Youtube Perpustakaan UTM. Program yang bertujuan menggalakkan minat membaca ini telah disertai oleh dua orang panel yang merupakan ahli Majlis Perwakilan Pelajar UTM. Panel pertama ialah Nadratul Huda binti Ahmad, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTM manakala panel kedua ialah Nurifah Izati binti Hairuddin, Exco Jabatan Perhubungan Dalaman dan Hal Ehwal Korporat, Majlis Perwakilan Pelajar UTM. Selain itu, saudara Muhammad Haziq Aiman bin Mustapar, Exco Sukan dan Kebudayaan Majlis Perwakilan Pelajar UTM telah diundang sebagai moderator bagi program ini.
Pengulas pertama iaitu Nadratul Huda binti Ahmad telah memilih buku berjudul ‘Penat’ hasil karya oleh Dr. Azizi Alias. Menurut pengulas, Dr. Azizi di dalam buku ini telah mengulas mengenai fenomena ‘languishing’ yang dialami oleh hampir setiap individu ketika memasuki fasa umur dewasa. Languishing bermaksud merasa diri gagal untuk mencapai apa-apa perkembangan atau kemajuan. Untuk ini, penulis buku telah menyajikan formula yang telah dikembangkan oleh pakar psikologi untuk mengatasi masalah ini dan menjadikan hidup kita lebih bermakna.
Salah satu bab yang menarik adalah mengenai ‘toxic positivity’. Kadangkala, kita tidak menyedari bahawa ketika kita berusaha untuk mengubah emosi negatif kepada positif, kita cenderung untuk meletakkan diri kita di dalam sikap penafian. Kita seakan-akan tidak dapat menerima perkara buruk yang telah menimpa diri kita. Pada hakikatnya, kita seharusnya cuba untuk merangkul emosi negatif dan menjadikan ia iktibar dan pengajaran. Menyingkirkan ia terus daripada emosi kita hanya akan memburukkan lagi keadaan.
Pengulas seterusnya ialah Nurifah Izati binti Hairuddin yang telah memilih buku berjudul Impian Jalanan karya Teme Abdullah. Buku ini disampaikan dalam bentuk penceritaan di mana ia menceritakan kisah seorang pemuda bernama Iskandar yang merupakan seorang yang dianggap istimewa kerana dia seorang yang gagap, lambat membaca dan rabun. Namun, keistimewaan yang hakikatnya satu kekurangan bagi orang normal langsung tidak menghampakan Iskandar. Sebaliknya, dia terus berusaha untuk memajukan hidupnya dan bangkit menghadapi segala cabaran. Malahan, Iskandar tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak di atas kesusahannya.
Iskandar memilih untuk bahagia dengan kekurangan yang ada berbanding mengeluh dan mengimpikan kehidupan yang tidak kunjung tiba buat dirinya. Apa yang paling penting, Iskandar memiliki ibu bapa yang tidak pernah putus asa memberi sokongan dan galakan buat dirinya.