Perpustakaan UTM Johor Bahru dengan kerjasama Friend of UTM Library (FLUTM) telah menganjurkan Program Read & Relax siri 9/2023 telah dijalankan pada 6 Julai 2023 (Khamis) jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di Bilik Eksekutif, Aras 4, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah.
Program telah disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan YouTube Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia. Dua (2) orang pengulas terdiri merupakan ahli FLUTM iaitu Nik Ihtisyam Majdah binti Nik Razi, pelajar PhD, Fakulti Sains dan Insyirah binti Abd Razak, pelajar PhD, Fakulti Alam Bina & Ukur. Moderator program pada kali ini adalah Akmal Alif bin Amran, Jabatan Perpustakaan, Universiti Teknologi Malaysia.
Pengulas pertama iaitu Cik Nik Ihtisyam Majdah binti Nik Razi memilih buku bertajuk ‘Coklat Rezeki 2’ yang ditulis oleh beliau sendiri bersama penulis yang lain.
Buku ini memuatkan perkongsian pengalaman dan cabaran yang dihadapi ketika melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana (Masters) di United Kingdom. Namun di sebalik dugaan yang dihadapi terdapat juga rezeki yang tidak disangka kerana menurut penulis skop rezeki sangat luas. Oleh itu, sentiasalah bersyukur dan menghargai setiap rezeki yang diperoleh. Tidak ketinggalan, penulis turut berkongsi tips untuk berdoa supaya tidak pernah putus menerima rezeki daripada Allah swt sama ada untuk diri sendiri atau orang di sekeliling. Pengulas merumuskan pemberian rezeki adalah secara tidak langsung mendekatkan diri kita kepada Allah, dan ia tidak dipanggil rezeki jika kita diberikan rezeki yang banyak tetapi semakin jauh dengan Allah kerana ia dipanggil istidraj.
Pengulas seterusnya ialah Insyirah binti Abd Razak telah memilih buku berjudul ‘Jangan Bersedih’ hasil karya Dr. Aidh Adl-Qarni. Dalam buku ini ia merangkumi pelbagai topik yang menarik antaranya cara untuk menangani kesukaran, tekanan dan cara untuk menjalin hubungan yang baik antara tuhan dan manusia serta banyak lagi.
Isi kandungan buku ini mampu memberikan semangat kepada pembaca supaya tidak bersedih dan berputus asa kerana sesungguhnya Allah sentiasa bersama hambaNya. Malah buku ini turut memuatkan panduan mengatasi kesedihan dengan menyarankan pembaca untuk melihat ia dari perspektif yang berbeza dan tambah pengulas lagi dunia adalah bersifat sementara, tiada guna untuk bersedih terlalu lama sedangkan kehidupan di akhirat yang kekal dan cuba untuk berusaha menjadikan diri kita yang lebih baik.