Program BookTalk@Library Siri 10/2023 telah diadakan pada 27 Jun 2023, Rabu. Dua orang staf yang terlibat untuk siri kali ini adalah Puan Sharifah Ezathul Imma Syed Zainal Abidin (Pustakawan Kanan) dan Encik Mohd Jeffry Sulaiman (Pembantu Operasi). Program dimulai dengan perkongsian dari Puan Sharifah Ezathul Imma Syed Zainal Abidin yang memilih buku Panduan Qurban, Aqiqah dan Khitan: Ibadah Yang Amat Digalakkan yang ditulis oleh Muhammad Husnan Karim.
Menurut beliau, buku ini dipilih kerana ia bersesuaian dengan perayaan yang bakal disambut oleh umat Islam iaitu Hari Raya Aidiladha. Di awal perkongsian, beliau berkongsi makna korban itu sendiri iaitu ibadah yang melibatkan penyembelihan haiwan tertentu pada 10 Zulhijah (tarikh hari raya) dan juga hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijah) sebagai satu bentuk penghormatan diri dan rasa syukur kepada Allah SWT. Beliau turut menjelaskan bahawa ibadah ini telah dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim AS, di mana Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim AS untuk menyembelih anaknya Ismail AS. Kerana patuh kepada perintah Allah SWT, Nabi Ibrahim AS tetap melaksanakan perintah menyembelih Ismail namun atas rahmat Allah, Dia telah menggantikan Ismail AS dengan seekor kibas.
Banyak yang dikongsikan oleh penyampai antaranya hukum ibadah korban, haiwan yang dibolehkan untuk disembelih, hikmah korban dan sebagainya. Beliau turut menasihati semua yang ada untuk terlibat dalam ibadah ini sekurang-kurangnya sekali seumur hidup kerana hikmah yang ada pada ibadah ini banyak dan semestinya dianjurkan dalam islam.
Perkongsian diteruskan lagi oleh Encik Mohd Jeffry Sulaiman yang memilih buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang yang ditulis oleh Shamsuddin Abdul Kadir. Menurut beliau, isi kandungan buku ini amat sesuai dengan diri beliau dan sebagai pengajaran kepada kita semua untuk mengelak sifat suka berhutang yang akhirnya akan memakan diri.
Menurut beliau, berhutang mampu memberikan impak buruk kepada kehidupan, apatah lagi berhutang untuk satu-satu perkara yang tidak begitu penting. Akibatnya, hidup sentiasa akan merasa tidak mencukupi dan gaji juga sentiasa digunakan untuk membayar hutang. Kesannya, kehidupan sentiasa akan merasa resah apabila sering ‘diburu’ pihak bank. Malah lebih teruk lagi apabila hutang melibatkan peminjam wang tidak berlesen iaitu ‘along’ atau ceti haram.
Oleh sebab itu, pengulas sentiasa mengingatkan kepada anak-anak muda untuk sentiasa mengawal perbelanjaan dan elak dari berhutang untuk kesejahteraan hidup. Menurut beliau lagi, kita hendaklah sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sederhana dan tidak terlalu membazir kerana kehendak diri sememangnya tidak mampu dipuaskan. Seharusnya kita menanam sifat sabar dan menghargai apa yang kita ada di samping menginsafi golongan yang serba kekurangan.